Ahli Gusti Iaitu Nor ‘Phoenix’ Diana Tersenarai Dalam ‘Forbes 30 Under 30 Asia’

Ahli gusti profesional Malaysia iaitu Nor ‘Phoenix’ Diana disenaraikan dalam Forbes ’30 Under 30 Asia’ tahunan kelima. Sebelum ini, Nor Diana menarik perhatian ramai kerana dia seorang ahli gusti wanita dan juga berhijab.

Nor ‘Phoenix’ Diana

Senarai itu menampilkan 300 usahawan muda, pemimpin dan pencetus perubahan di seluruh Asia. Kesemua mereka berumur bawah 30 tahun.

Forbes ’30 Under 30 Asia’ Kelas 2020 menyenaraikan pemimpin cemerlang dan inovatif dengan 30 individu dipilih bagi setiap daripada 10 kategori.

Nor Diana yang berusia 20 tahun itu merupakan wanita pertama memenangi kejohanan Gusti Pro Malaysia Wrestlecon (MyPW) pada Julai tahun lalu. Dia terpilih di bawah kategori Sukan dan Hiburan.

Kategori lain ialah seperti Seni (Seni dan Gaya, Makanan dan Minuman); Kewangan dan Modal Teroka; Media, Pemasaran dan Pengiklanan; Runcit & E-Dagang; Teknologi Perusahaan; Industri, Pembuatan dan Tenaga; Penjagaan Kesihatan dan Sains; Usahawan Sosial dan Teknologi Pengguna.

“Pada tahun ini yang disenarai sebagai ’30 Under 30 Asia’ Forbes adalah mereka yang menginspirasikan keyakinan bagi menghadapi tahun yang mencabar ini,” kata Editor Forbes 30 Under 30 Asia iaitu Rana Wehbe dalam satu kenyataan hari ini.

Wehbe mengambil perhatian terhadap wanita muda terutamanya yang berumur bawah 21 tahun serta menyerlah dalam senarai 2020 tersebut. Ia seperti ahli gusti berhijab warga Malaysia sehingga pelawak wanita pertama Bangladesh dan usahawan sosial yang membantu petani di Filipina memperbaiki hidup mereka.

Antara yang tersenarai pada tahun ini termasuk kumpulan muzik K-pop wanita iaitu Twice dan pelakon wanita Park So-dam, dari Korea Selatan yang dikenali menerusi filem Parasite dan telah memenangi anugerah Oscar tahun ini.

Turut tersenarai adalah pemain tenis wanita nombor satu dunia Ashleigh Barty, pengasas MyraSwim iaitu Bianca Anstiss dari Australia. Pelumba kereta berumur 14 tahun iaitu Juju Noda dari Jepun tidak ketinggalan untuk tersenarai.

Senarai 2020 menampilkan senarai 30 Under 30 Asia yang pelbagai dengan membabitkan 22 negara dan wilayah yang mewakili rantau Asia-Pasifik.

Dipilih daripada lebih 3,500 pencalonan, menerusi kajian wartawan Forbes dari seluruh rantau dan diteliti oleh veteran berpengalaman dalam industri. Mereka yang terpilih ini telah mencatatkan kecemerlangan dalam industri disruptif dan dalam menangani isu global yang penting.

Kriteria bagi mereka yang tersenarai termasuk aspek kepimpinan, bagaimana mereka mewujudkan semangat keusahawanan yang sinonim dengan Forbes dan potensi kejayaan dalam industri yang diceburi.

Faktor lain seperti inovasi, disruptif saiz dan perkembangan usaha mereka dalam beberapa kategori. Perkara ini memainkan peranan dalam membuat keputusan muktamad.

Mereka yang tersenarai telah dipilih dan diteliti oleh panel hakim yang berwibawa dan terkenal dalam bidang masing-masing.

Mereka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rakuten iaitu Hiroshi Mikitani, Pengarah Eksekutif dan CEO HCL Corporation dan Pemegang Amanah Yayasan iaitu Shiv Nadar, Roshni Nadar Malhotra dan Rakan Kongsi Utama di INCE Capital iaitu JP Gan.

Kejajayaan Nur ‘Phoenix’ Diana ini pasti memberi inspirasi kepada anak muda di Malaysia. Dia telah membuka mata ramai pihak bahawa wanita yang berhijab sepertinya juga mampu untuk menjadi ahli gusti. Anak muda harus berani untuk menceburi apa sahaja bidang yang diminati dan berani untuk menyahut cabaran yang bakal ditempuhi.

Untuk baca artikel lain tentang Nor ‘Phoenix’ Diana, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca