Agong Cemar Duli Bantu Mangsa Kemalangan, Warganet Puji Peribadi Mulia Baginda

Keperibadian mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menarik perhatian ramai apabila baginda tampil membantu mangsa kemalangan dalam insiden yang berlaku berhampiran plaza tol Lebuhraya MEX Putrajaya.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Instagram Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dilihat menuruni kenderaan rasmi baginda untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Mangsa kemalangan bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

Baginda kemudiannya meneruskan perjalanan ke Istana Melawati, Putrajaya untuk Majlis Menghadap Pra Kabinet bersama Perdana Menteri.

Tinjauan kami di ruangan komen posting tersebut mendapati bahawa rata-rata warganet memuji keperibadian mulia baginda itu.

“Alhamdulillah. Baik sungguh Tuanku. Moga anak-anak saya berakhlak begini. Ya Allah, lindungi Tuanku sekeluarga,” coret @farid.chong.1.

“Daulat Tuanku, Tuanku sangat berjiwa rakyat. Semoga Allah rahmati Tuanku dan seluruh keluarga,” tulis @khaliffcookiesbakeryofficial.

“Terima kasih atas keprihatinan Tuanku,” ucap @entan_esmail.

“Mulianya hatimu, Tuanku. Daulat Tuanku. Semoga diberi kesihatan yang baik dan berpanjangan,” doa @nurulyati82.

Pada 5 Ogos 2019, Seri Paduka turut mencemar duli turun dari kenderaan rasmi bagi memberi bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya. Difahamkan, baginda ketika itu sedang dalam perjalanan untuk merasmikan Pameran Raja Kita di Muzium Diraja.

Sebelum ini, kami pernah kongsikan enam perkara menarik tentang baginda. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca artikel penuh:

Artikel Lain Untuk Di Baca