Afdlin Shauki Seru Orang Ramai Bantu Rakyat Syria Dan Palestin

Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki kini sedang giat mengutip sumbangan dana menerusi Yayasan Afdlin bagi membantu mangsa perang di Syria dan Palestin menjelang musim sejuk ini.

Memetik laporan Harian Metro, Yayasan Afdlin mensasarkan jumlah kutipan sekitar RM400,000. Bantuan itu bakal disalurkan mereka sendiri yang akan ke sempadan Turki dan Syria pada 9 hingga 16 Januari tahun hadapan.

“Kemungkinan besar, tempoh bantuan akan diteruskan beberapa hari lagi selepas tarikh itu kerana kami akan ke sempadan Jordan dan Syria pula untuk salurkan bantuan seterusnya,” kata Afdlin.

Menurut selebriti serba boleh itu, alat bantuan paling utama adalah untuk memberikan alat pemanas.

“Mereka kebanyakannya tinggal di dalam khemah. Bayangkan, ada antara mereka adalah warga emas dan juga bayi,” katanya.

“Jadi, kami akan berikan bantuan alat pemanas serta bahan api untuk pastikan mereka dapat teruskan kehidupan dalam musim sejuk. Selain itu, kami akan berikan bantuan selimut serta makanan kerana sumber makanan sangat sukar didapati di zon perang,” katanya lagi.

Tambah Afdlin, semua barang keperluan yang bakal didermakan akan dibeli di negara itu untuk membantu ekonomi mereka.

“Ada yang nak berikan sumbangan baju sejuk. Namun, saya tak galakkan kerana untuk membawa banyak barang ke sana juga perlukan kos.”

“Jadi, kami akan beli barang yang diperlukan di sana. Secara tak langsung, kita dapat bantu mereka untuk menjana ekonomi,” katanya.

Selain Afdlin, seorang lagi selebriti yang turut serta dalam kutipan sumbangan dana ini adalah Dira Abu Zahar.

Sumbangan dana boleh disalurkan ke akaun Maybank Yayasan Afdlin Shauki bernombor 564810516713.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca