Adun Dengkil Digantung Jawatan Dalam Armada Selangor, Syed Saddiq Tegaskan Hormati Prinsip ‘Rule Of Law’

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Penolong Setiausaha Armada Nasional Ahmad Redzuan Shafi digantung jawatan masing-masing berkuatkuasa serta-merta. Penggantungan tersebut diumumkan oleh Ketua Armada Nasional yang juga Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Penggantungan ini dipercayai ada kaitan dengan kes penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan empat pegawai khas ahli politik, antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi di Puchong pada awal pagi Isnin.

Menurut kenyataan itu lagi, jawatan Ketua Armada Selangor akan dipangku Timbalan Ketua Armada negeri, Anas Akashah Nazri manakala Exco Armada Nasional Danial Syahiran Ho Imran Ho memangku jawatan Penolong Setiausaha Armada Nasional.

Dalam ciapan di akaun Twitter rasminya, Syed Saddiq juga menegaskan sentiasa menghormati prinsip ‘Rule Of Law’ dan percaya keputusan penggantungan jawatan itu adalah selari dengan agenda politik khidmat ARMADA serta adil kepada rakyat dan semua yang terlibat.

Artikel Lain Untuk Di Baca