Adolf Hitler Versi Kelakar, Ini 5 Filem Komedi Terbaik Arahan Charlie Chaplin

Nama Charlie Chaplin sudah pasti tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Sejak tahun 1900-an lagi, pelakon komedi ini telah banyak memegang peranan sebagai watak lelaki utama dalam beberapa buah filem hitam putih.

Kebanyakan karya filem beliau telah berjaya membuatkan ramai penonton terhibur dengan setiap karakter yang dibawa dari awal hingga pertengahan era klasik.

Tahukah anda? Charlie Chaplin juga merupakan seorang pelakon, penulis, pelawak dan pengarah filem Inggeris pada era filem hitam putih. Bakat semula jadi yang dimiliki oleh beliau dalam melakonkan pelbagai watak komedi telah menjadi inspirasi kepada industri filem-filem komedi masa kini.

Berikut merupakan 5 filem terbaik yang dilakonkan oleh Charlie Chaplin:

1. The Circus (1928)

Filem ini telah ditulis sendiri oleh Charlie. Selain menulis, beliau turut menjadi pengarah merangkap produser bagi filem komedi tersebut. Menariknya, filem ini tersenarai antara tujuh filem yang mencapai jumlah tontonan tertinggi di pawagam iaitu melebihi $3.8 juta sehingga menerima pujian pihak ramai.

Para pelakon yang membintangi filem ini terdiri daripada selebriti terkenal seperti Merna Kennedy, Harry Crocke, Al Ernest Garcia, George Davis dan Henry Bergman dan juga Charlie Chaplin.

Filem ini menceritakan kisah kehidupan seorang wanita muda yang sering dikongkong oleh ayahnya agar mengutamakan pekerjaan di sarkas demi mencapai keuntungan. Bagaimanapun, kehidupan wanita ini berubah 180 darjah setelah kehadiran Charlie yang berjaya mengubah nasib hidupnya.

2. The Great Dictator (1940)

Sebuah filem epik arahan Charlie Chaplin Film Corporation telah diterbitkan pada tanggal 15 oktober 1940 bersamaan dengan zaman kemunculan perang dunia kedua yang melibatkan pemerintahan Adolf Hitler.

Charlie dilaporkan telah memerankan watak Adenoid Hynkel yang menggambarkan karakter Adolf Hitler iaitu seorang diktator kejam dan tegas. Beliau turut menggunakan elemen-elemen berbeza dalam filem ini. Filem berdurasi 124 minit ini menerima anggaran keuntungan sebanyak US$2 juta.

3. The Kid (1921)

Filem komedi drama Amerika yang diterbitkan pada tahun 1921 ini menampilkan Charlie Chaplin dan juga Jackie Coogan. Filem ini berjaya mencapai kejayaan dengan keuntungan tertinggi kedua pada tahun tersebut. Ia menceritakan kasih sayang seorang lelaki kepada bayi yang ditemuinya. Bayi tersebut kemudiannya dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

4. A Woman of Paris (1923)

Barisan pelakon filem ini terdiri daripada Edna Purviance, Clarence Geldart, Carl Miller, Lydia Knott dan Edna yang memegang watak sebagai Marie St. Clair.

Filem ini mengisahkan Marie dan pelukisnya, Jean Millet yang bercadang meninggalkan kampung halaman mereka untuk pergi ke Paris dan berhajat ingin berkahwin. Bagaimanapun, sesuatu perkara yang tidak diduga telah berlaku apabila Marie menjadi perempuan simpanan kepada ahli perniagaan kaya Pierre Revel.

5. Modern Times (1936)

Filem yang diarahkan sendiri oleh Charlie Chaplin ini memfokuskan fasa kehidupan perindustrian pada zaman dahulu. Para pelakon yang membintangi filem ini ialah Paulette Goddard, Henry Bergman, Tiny Sandford, Chester Conklin dan juga Charlie Chaplin. Keseluruhan perbelanjaan filem ini dikatakan mencecah $1.5 juta dan berjaya meraih keuntungan dalam box office sekitar $1.4 juta.

Rumusnya, hasil karya beliau sememangnya memberi inspirasi kepada industri perfileman masa kini untuk mewujudkan filem bergenre komedi. Hebatnya, setiap filem yang dihasilkan oleh beliau berjaya memaparkan mesej-mesej tersirat sebagai pengajaran kepada masyarakat dalam kehidupan seharian.

Penulis

  • Nurul Asirah Binti Alban adalah pelajar daripada Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Artikel Lain Untuk Di Baca