Adly Zahari Ucap Terima Kasih, Perubahan Landskap Kepimpinan Negeri Dijangka Berlaku

Pejabat Ketua Menteri Melaka Adly Zahari telah mula dikawal ketat susulan dijangka bakal berlaku perubahan pada kepimpinan negeri, hari ini.

Kenderaan membawa beberapa ahli Exco memasuki bangunan Seri Negeri selepas satu mesyuarat khas Pakatan Harapan (PH) negeri difahamkan akan berlangsung pada jam 9.30 pagi.

Antara yang kelihatan memasuki bangunan Seri Negeri seawal jam 8 pagi termasuklah Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri yang juga merangkap Timbalan Pengerusi DAP negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Selain itu, Exco Pendidikan, Modal Ihsan Sains dan Inovasi Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, Datuk Noor Effandi Ahmad turut dilihat berada di lokasi sama.

Dalam pada itu, dianggarkan terdapat kira-kira 20 wakil media turut mula berkampung di hadapan Seri Negeri bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Meskipun begitu, kelibat Adly Zahari masih belum kelihatan memasuki pejabatnya sedari jam 9.45 pagi tadi.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman sosial Facebook miliknya, Adly sebelum ini telah mengucapkan terima kasih kepada rakyat Melaka.

Kepimpinan negeri berubah ekoran tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memilih untuk keluar daripada Pakatan Harapan seperti yang telah diumumkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.

PH dan Barisan Nasional negeri masing-masing mempunyai 13 kerusi DUN manakala Bersatu dua kerusi.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca