4 Adat Resam Perkahwinan Kaum Cina

Tahukah anda bahawa adat-adat istiadat yang terdapat dalam upacara perkahwinan masyarakat Cina adalah berbeza dengan kaum lain di negara ini? Kami kongsikan adat resam dan budaya masyarakat Cina dalam upacara perkahwinan:

1. Merisik

Sumber: Habib Jewels

Untuk pengetahuan anda, tujuan merisik adalah untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati kerana masyarakat Cina mengambil berat tentang nama, keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku wanita terbabit.

Oleh itu, cara merisik terpulang kepada ibu bapa pihak lelaki sama ada mereka mahu bertanya kepada kenalan ataupun rakan taulan yang mengenali keluarga wanita tersebut.

Selain itu, mereka lebih gemar mengadakan perbincangan seperti ini di restoran bersama saudara mara lain kerana dipercayai bahawa tradisi ini boleh mengeratkan perhubungan di antara ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Perbincangan pada peringkat merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum seperti latar belakang keluarga dan keturunan wanita itu kerana peringkat ini adalah untuk memastikan gadis yang dihajati oleh lelaki itu masih belum berpunya.

Pada peringkat ini, pihak lelaki akan memberikan sebentuk cincin belah rotan dan sekiranya pihak wanita bersetuju, satu tarikh peminangan akan ditetapkan.

2. Meminang

Upacara meminang hanya akan dijalankan setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-masing. Seorang wakil akan dipilih untuk mengunjungi rumah si gadis untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan.

Ibu bakal pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil itu tentang jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai untuk melangsungkan perkahwinan.

Wakil tersebut akan memaklumkan semua ketetapan yang telah dipersetujui kepada ibu bapa pihak lelaki. Seterusnya, ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anak mereka untuk memenuhi segala permintaan pihak perempuan.

Hanya selepas kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk berkahwin, barulah upacara pertunangan itu dijalankan. Wakil daripada pihak lelaki akan diutuskan oleh ibu bapa pihak lelaki sebagai wakil untuk meminang pilihan hati anak mereka.

Ibu bapa kepada pihak perempuan akan diberi tempoh untuk memberi jawapan dan sekiranya pinangan diterima, mereka akan berbincang tentang syarat-syarat berkaitan mas kahwin dan perbelanjaan untuk majlis perkahwinan pada pertemuan berikutnya.

Andaikata upacara perkahwinan itu ditangguhkan selama beberapa bulan, pihak lelaki akan menghantar tanda terlebih dahulu kepada pihak wanita.

Salah satu cara ikatan pertunangan antara dua keluarga yang rapat atau saudara dalam masyarakat Cina adalah tanpa menggunakan cincin pertunangan.

Selain itu, ia merupakan persetujuan bertulis semenjak bakal pengantin itu kecil lagi atau semasa mereka masih bayi di mana pertunangan itu kemudiannya dibuat secara wasiat.

3. Upacara pertunangan

Hari pertunangan adalah berdasarkan kalendar Cina kerana hari yang dipilih perlu bersesuaian dengan zodiak pasangan berkenaan.

Berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-Su, khidmat tukang tilik akan digunakan untuk menetapkan tarikh pertunangan pasangan itu.

Masyarakat Cina percaya bahawa sekiranya upacara itu dilakukan pada waktu yang tidak sesuai, pasangan terbabit akan ditimpa bencana dan perkahwinan mereka tidak akan bertahan lama.

Bakal pengantin lelaki akan berkunjung ke rumah pilihan hatinya untuk menunaikan permintaan bakal isterinya. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan.

Kedua-dua bakal pengantin akan menyarung cincin di jari manis kiri mereka sehingga hari perkahwinan. Sebagai bukti persetujuan, wanita tersebut akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang mengandungi nama, umur dan tarikh lahirnya.

Selepas pihak lelaki menerima nyen-sang tersebut, mereka akan melakukan persediaan seperti memberi nyen-sang bakal isterinya bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya kepada tukang tilik .

Dari situ, tukang tilik itu akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang lalu mencatatnya pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor.

Untuk menentukan hari yang sesuai, tukang tilik akan memberikan dua keping nyik-kor kepada pasangan yang hendak berkahwin. Nyik-kor tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti oleh pasangan tersebut.

Hantaran dan mas kahwin secara lazimnya akan diberi semasa upacara bertukar cincin perkahwinan ataupun pada hari lain seperti hari perkahwinan yang diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan.

Hantarannya termasuk sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai.

4. Majlis perkahwinan

Hari perkahwinan akan berlangsung mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Walaupun begitu, sekiranya terdapat kematian dalam kalangan ahli keluarga bakal pengantin sebelum hari perkahwinan, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun berikutnya ataupun selama seratus hari.

Masyarakat Cina pada masa dahulu akan memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas pada hari perkahwinan mereka. Pakaian itu pula akan dihias dengan pelbagai aksesori.

Untuk baju pengantin pula, warna pakaian itu digalakkan untuk berwarna putih, merah atau kuning. Walau bagaimanapun, pengantin dilarang sama sekali untuk memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana warna-warna tersebut dipercayai melambangkan kematian dan kesedihan.

Seterusnya, pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan mereka kemudiannya akan diiringi oleh pengiring masing-masing untuk duduk di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu.

Sebaik sahaja upacara persandingan berakhir, pasangan pengantin akan dibawa untuk bertemu dengan ahli keluarga masing-masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan saudara maranya kepada isterinya.

Masyarakat Cina menganggap upacara minum teh sebagai sesuatu yang sangat penting dan masih mengamalkannya sehingga hari ini kerana ia melambangkan penerimaan pasangan pengantin dalam keluarga masing-masing di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Dalam upacara ini, pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara mereka. Orang yang lebih tua khususnya ibu bapa pasangan pengantin akan memberi angpau kepada pasangan tersebut sebagai tanda berkat dan kemuncak upacara perkahwinan iaitu jamuan makan berlangsung pada sebelah malam.

Adat resam majlis perkahwinan masyarakat Cina merangkumi empat peringkat iaitu merisik, meminang, upacara pertunangan dan hari perkahwinan itu sendiri.

Penulis

  • Azlin Azimi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca