Adaptasi Daripada Kisah Benar, Ini Filem-Filem Patriotik Yang Dapat Menaikkan Semangat Kenegaraan

Filem patriotik atau bersifat kenegaraan biasanya berkait rapat dengan jati diri bagi meningkatkan rasa kecintaan penonton terhadap negaranya. Elemen sejarah yang mengaitkan pemimpin atau seseorang tokoh juga sering digunakan sebagai daya tarikan.

Filem kenegaraan dan patriotik ini tidak hanya berkisahkan tentang peperangan, pergolakan, pertumpahan darah dan juga perebutan kuasa daripada penjajah. Pengisian filem patriotik tentang semangat juang turut diangkat menjadi tema sesebuah filem.

Menonton filem-filem patriotik sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat kenegaraan kita sebagai rakyat Malaysia.

Oleh itu, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-62, kami menyenaraikan lima filem patriotik adaptasi kisah benar yang wajib anda tonton bersempena Hari Kebangsaan!

1. Bukit Kepong

Filem Bukit Kepong yang ditayangkan di pawagam pada tahun 1981 ini berkisahkan mengenai perjuangan pihak polis menentang komunis. Diangkat daripada kisah benar yang terjadi pada tahun 1950. Filem arahan Tan Sri Jins Shamsudin ini dilakonkan oleh beliau sendiri bersama Allahyarham Hussein Abu Hassan, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

2. Leftenan Adnan

Filem arahan sutradara profilik Aziz M Osman ini telah diterbitkan pada tahun 2000. Menampilkan garapan kisah benar Leftenan Adnan Saidi yang terjadi semasa Perang Dunia Kedua. Filem ini membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Hairie Othman, Datin Paduka Umie Aida, Faizal Hussein, Rusdi Ramli dan ramai lagi.

3. Paloh

Filem ini tentang kisah benar penduduk daerah Paloh yang terletak di Johor. Filem arahan Adman Salleh ini ditayangkan pada tahun 2003. Mengangkat kisah penduduk Tanah Melayu yang terpaksa hidup dalam tekanan akibat berlakunya konfrontasi antara pihak tentera Jepun dengan Parti Komunis Malaya. Filem Paloh ini dibintangi oleh Janet Khoo, Nam Ron, Ellie Suriaty dan ramai lagi.

4. 1957: Hati Malaya

Diterbitkan pada tahun 2007 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-50, filem hebat ini diarahkan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba. Berkisahkan mengenai golongan muda tempatan yang berusaha untuk menerbitkan sebuah buku bergambar yang bertajuk 1957 – Hati Malaya. Filem ini turut menyelitkan kisah benar mengenai perjuangan untuk mencapai kebebasan.

5. Tanda Putera

Filem adaptasi kisah benar ini memaparkan hubungan persahabatan antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sejak tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Filem ini turut diarahkan oleh pengarah prolifik Datin Paduka Shuhaimi Baba. Tanda Putera dibintangi oleh Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim dan ramai lagi.

6. Paskal The Movie

Filem PASKAL The Movie merupakan sebuah filem aksi ketenteraan Malaysia 2018 arahan Adrian Teh telah menerima kutipan lebih RM27.3 juta dalam tempoh 32 hari tayangan. Ia berjaya membuktikan filem berbentuk kenegaraan sebegini mampu menarik minat penonton di luar sana. Melihat dari segi kutipan, filem ini berjaya menduduki carta pertama filem kenegeraan yang paling laris dalam sejarah perfileman negara.

Dalam pada itu, filem yang mengangkat pasukan unit khas dalam organisasi TLDM atau lebih dikenali sebagai Pasukan Khas Laut (PASKAL) ini juga dilihat mampu menyuntik semangat cintakan negara.

Filem ini berdasarkan dari kisah benar, ia mengisahkan tentang kepayahan pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Khas Laut atau PASKAL dalam misi merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G, Jasmine Suraya Chin.

Filem-filem kenegaraan ini adalah fakta negara yang tidak boleh ditukar ganti. Namun, kita hanya tahu ini negara Malaysia tetapi belum tentu ramai yang tahu dengan lancar dan mendalam mengenai sejarah Malaysia iaitu sejarah negara sendiri.

Oleh itu, pentingnya stesen televisyen dan radio menguar-uarkan sejarah penubuhan dan ulang tahun Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kerana medium media penyiaran elektronik mempunyai pengaruh besar kepada penonton atau pendengar.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca