Adakan Pesta COVID-19, Rakyat Amerika Syarikat Percaya Diri Kebal Kepada Wabak

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan.

Dengan penularan wabak COVID-19 yang telah meragut lebih daripada 280,431 nyawa sehingga ke hari ini, aktiviti berkumpul di khalayak ramai boleh membahayakan diri sendiri.

Atas sebab itu, normal baharu yang dititikberatkan adalah kekal berada di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya di Washington, Amerika Syarikat apabila segelintir orang awam sengaja bergaul dengan pesakit COVID-19 dalam pesta yang diadakan pada 6 Mei lalu.

Mereka percaya tubuh badan akan menjadi kebal kepada wabak meragut nyawa ini apabila bersentuhan dengan pesakit COVID-19. Memetik laporan The Straits Times, ‘Pesta COVID-19’ ini diaturkan supaya orang ramai akan tetap kebal kepada wabak ini pada masa hadapan.

Meghan Debolt iaitu Pengarah Kesihatan Masyarakat untuk Walla Walla Country turut melaporkan kewujudan dua ‘Pesta COVID-19’ di kawasan itu baru-baru ini.

Tambah Meghan lagi, 2 antara 20 orang yang hadir ke pesta tersebut kini disahkan positif COVID-19. Kluster ini dilihat telah mematahkan usaha pihak berkuasa untuk membendung penularan wabak meragut nyawa ini.

several people standing on field under blue sky

“Kami ingin membuka kembali komuniti kami. Walau bagaimanapun, ia melambatkan usaha kami untuk membuka semula kawasan ini sekiranya komuniti kami tidak mengamalkan guideline penjarakan sosial yang betul.

Tindakan seperti ini di mana individu berkenaan sengaja mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 supaya mereka dijangkiti wabak tersebut juga melambatkan usaha kami untuk membuka semula kawasan ini,” ujarnya.

Meghan turut menyatakan bahawa dua individu berkenaan positif COVID-19 selepas menghadiri salah satu pesta di Walla Walla masih muda dan tidak memerlukan rawatan perubatan.

Kedua-dua pesakit itu percaya mereka akan sembuh dengan cepat daripada wabak meragut nyawa ini. Walau bagaimanapun, kedua-dua pesakit itu tidak sedar mereka boleh menyebarkan wabak tersebut kepada individu mempunyai antibodi yang lemah.

Sementara itu, Amerika Syarikat mencatatkan 1,347,309 kes positif COVID-19 manakala 80,037 daripada mereka tewas kepada wabak tersebut sehingga ke hari ini.

Sebagai peringatan, rakyat Malaysia diminta untuk mematuhi perintah kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan kerana kesihatan anda dan orang sekeliling perlu menjadi keutamaan sepanjang masa.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca