“Betul ke minum susu ada masa tertentu? Jika tidak, nanti mengganggu fungsi penghadaman?”
Sebenarnya minum susu setiap hari dapat memenuhi keperluan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh kita, terutama kalsium dan protein. Namun, pilihlah masa yang sesuai mengikut keperluan kita.
Untuk mendapatkan keperluan nutrisi, kita boleh minum susu pada waktu siang (semasa bersarapan atau makan tengahari) kerana pencernaan susu berlaku dengan lebih sempurna pada waktu siang.
Jika kita seorang atlet atau seorang yang melakukan tugas fizikal yang berat, seeloknya minum susu sewaktu bersarapan kerana susu membekalkan tenaga dan protein yang banyak.
Jika kita mudah berasa lapar, lemak dalam susu dapat mengurangkan rasa lapar. Jika boleh makan tengahari bersama sandwich yang ada banyak sayur dan cuba hadkan pengambilan roti dengan hanya sekeping sahaja untuk sandwich. Pastikan ada sumber protein dari telur di dalamnya.
Minum susu juga dapat membantu sesetengah orang untuk mudah tidur. Minum susu hangat bersama minyak zaitun, serbuk almond atau kayu manis, dapat membantu tubuh dan otak lebih tenang (tidak mengalami tekanan atau gangguan). Jadi, ia amat memudahkan kita untuk tidur.
Apabila kita berada dalam keadaan stress, jangan minum kopi yang mengandungi banyak caffine. Minum susu dapat mengurangkan stress kerana susu juga mengandungi asid amino tryptophan yang penting dalam penghasilan serotonin (membantu meringankan migrain dan kemurungan) untuk membantu kita tenang.
Siapa kata kita tidak boleh ambil susu ketika berdiet? Sebenarnya ia boleh sahaja. Tetapi, pastikan tidak minum susu pada waktu malam. Ambil segelas susu dalam kuantiti 150 hingga 250ml setiap hari bagi membantu mengurangkan rasa lapar. Yang bahaya adalah karbohidrat berproses seperti gula, kek, nasi putih dan sebagainya. Itulah yang harus dikurangkan atau dihentikan ketika berdiet.