Adakah Anda Tahu Siapakah Pencipta Mi Segera? Baca Perkongsian Lelaki Ini

Momofuku Ando adalah seorang usahawan Jepun yang terkenal sebagai pencipta mi segera. Jenama mi segera beliau adalah Cup Noodles yang telah terjual lebih daripada 40 bilion di seluruh dunia sehingga kini.

Momofuku mula berniaga selepas beliau tamat pelajarannya di Universiti Ritsumeikan, Jepun dengan membuka syarikat pakaian. Syarikat yang dibuka telah berkembang maju dan beliau turut memberikan peluang biasiswa kepada pelajar-pelajar yang terpilih.

Tetapi, kerajaan Jepun telah menganggap beliau cuba untuk mengelak daripada membayar cukai dan akhirnya beliau dipenjarakan ketika umurnya 38 tahun.

Apabila beliau dibebaskan dari penjara, syarikat pakaian Momofuku telah jatuh bankrap. Tetapi, perkara itu tidak mematahkan semangat beliau dalam meneruskan perniagaannya.

Beliau telah membuka syarikat baru iaitu syarikat pengeluaran makanan, tetapi pada waktu itu, Jepun telah terlibat dalam perang dunia ke-2 dan mengakibatkan syarikat beliau telah mengalami kekurangan bekalan makanan. Momofuku mengambil keputusan untuk menjual garam pada sepuluh tahun berikutnya.

Apabila perang berakhir, kerajaan Jepun terpaksa membeli roti dari Amerika Syarikat kerana harga makanan tradisi Jepun iaitu mi menjadi mahal.

Melalui peristiwa yang berlaku itu ia telah mendorong Momofuku mencari jalan untuk menghasilkan mi pada kos yang rendah. Pada tahun 1958, beliau berjaya mencipta mi segera pertama. Umur beliau pada waktu itu adalah 48 tahun.

Meskipun jualannya telah mendapat sambutan, tetapi Momofuku tidak berpuas hati kerana bagi beliau mi segera tersebut masih belum cukup murah dan tidak mudah dimasak.

Momofuku meneruskan lagi eksperimennya untuk menghasilkan mi segera yang terbaik. Selepas 13 tahun kemudiannya, beliau berjaya menyempurnakan formula mi segera tersebut. Pada ketika itu umur beliau telah mencecah 61 tahun.

Mi segera beliau telah diundi sebagai ciptaan Jepun yang terhebat pada abad ke-20 dan beliau telah menubuhkan syarikat Nissin Food Products yang kini telah berkembang maju ke serata dunia. Selain itu, beliau turut menjual makanan sejuk beku, biskut dan minuman.

Momofuku telah meninggal dunia sewaktu umurnya 97 tahun. Antara kata-kata beliau yang paling diingati adalah, “tiada istilah terlambat bagi mencapai sesuatu dalam hidup ini.”

Artikel Lain Untuk Di Baca