Search
Close this search box.

Adakah Anda Tahu Ciri-Ciri Dan Perbezaan Bipolar Disorder Dengan ADHD?

Secara ringkasnya bipolar disorder adalah satu keadaan yang menyerang mood (perasaan) seseorang secara ekstrim. Satu ketika, pesakit rasa sangat bersemangat (mania). Satu ketika pula, mood pesakit tiba-tiba jatuh merudum (down) dan membuatkan rasa tertekan (depress), putus asa, bahkan sampai mempunyai keinginan untuk bunuh diri. Perubahan mood yang mendadak ini mengganggu aktiviti harian, perhubungan, karier dan fungsi seseorang dalam masyarakat.

Dua keadaan mood tersebut adalah umpama dua buah kutub. Bila berada di tengah garisan khatulistiwa, mood normal. Bila swing ke kutub utara, jadi manic atau euphoria (perasaan gembira). Bila swing ke kutub selatan, jadi tertekan. Kekerapan, keterukan dan tempoh masa episod-episod mood ini adalah berbeza bagi setiap pesakit bipolar.

Antara ciri ciri bipolar disorder ialah:

1. Mania

Pada fasa ini, mood sangat baik, semangat terlalu tinggi, tenaga berlebihan, rajin, suka untuk menghasilkan karya sehingga mampu menyiapkan kerja dengan begitu sempurna dan penuh ketekunan.

Otak mampu berfikir dengan cekap, kreatif dan mempunyai banyak idea. Ia juga mampu berfikir hingga mencetus sesuatu yang hebat.

Hal Ini kerana dalam keadaan manic, pesakit mampu berfikir di luar kotak. Sel-sel otak berhubung dengan sangat laju. Tetapi kadang ia terlalu laju berlegar di dalam otak.

2. Mood down


Fasa ini banyak menguji pesakit dari segi karier. Kerja ataupun tugasan yang diberi tidak mampu disiapkan dengan baik.

Secara tiba tiba akan rasa putus asa dan rasa gagal untuk menyiapkan tugasan dengan sempurna sehingga boleh meninggalkan pekerjaan yang sedang diusahakan begitu sahaja.

Mereka juga berasa tidak bertenaga sehingga prestasi kerja boleh merudum secara ekstrim dan ada pesakit yang sampai dibuang kerja.

3. Depresi

Secara umumnya, depresi pesakit bipolar adalah seperti rasa melankolik, tiada selera makan, putus asa, kecewa, tiada semangat, tiada tenaga dan sangat memenatkan sehingga menganggap dunia ini penuh dengan kesedihan.

4. Mudah marah

“Mixed mania.” Di mana gejala mania (perasaan gembira) dan depresi ini terjadi secara serentak.

Dalam keadaan seperti ini, pesakit menjadi sangat mudah marah. Sukar untuk menjangka akan perubahan mood yang terjadi. Tetapi ia boleh dilihat apabila mereka terlalu marah.

5. Bercakap dengan cepat

Biasanya perkara ini terjadi dalam berbicara satu arah di mana mereka berbicara dengan cepat dan orang lain hanya mendengarkan sahaja apa yang dicakap.

Mereka juga akan membicarakan hal dengan topik berbeza iaitu topik yang dibicara dan topik lain. Perubahan topik yang dibicarakan selalu cepat dan tidak menentu. Ini kerana otak terlalu laju berfikir, ia berlaku dalam fasa manic.

6. Bermasalah dalam pekerjaan

Perubahan mood yang sangat ekstrim sangat mengganggu kerjaya, mood tidak menentu dari manic (perasaaan gembira) ke depresi dan depresi ke manic, pesakit mengalami kesulitan untuk mengerjakan tugasan dengan baik. Selain itu, masalah susah tidur, mudah marah dan ego yang tinggi membuatkan mereka sukar untuk bekerja.

7. Fikiran sering berubah

Jika minggu ini ideanya begini, minggu depan berkemungkinan ideanya berubah 360°. Agak sukar untuk orang sekeliling meneka jalan pemikiran mereka. Tetapi kadangkala inilah keistimewaan pesakit bipolar, full of surprises.

8. Insomnia

Antara masalah besar bagi pesakit bipolar ialah susah tidur. Selalunya saat manic iaitu tenaga berlebihan, maka sangat mustahil untuk tidur dengan amannya.

Otak pada ketika ini sangat laju berfikir, langsung tiada ruang untuk melelapkan diri. Kebanyakannya mengambil peluang ini untuk menyiapkan kerja, berkarya dan membuat planning. Idea datang secara tiba-tiba dan laju ke dalam otak.

9. Sukar memberi tumpuan

Saat pesakit dilanda depresi, memang agak sukar untuk memberi tumpuan. Terlalu banyak yang akan muncul di minda. Fikiran akan berpecah-belah hingga sukar bagi pesakit untuk fokus akan satu perkara.

10. Hilang semangat untuk hidup

Ini adalah fasa yang agak kritikal, ia biasanya terjadi semasa mood yang rendah (down). Pada ketika ini, ada pesakit tanpa sedar cuba untuk membunuh diri.

Oleh itu, perkara yang berlaku ini disebabkan salah diagnosis antara Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan bipolar disorder.

ADHD ialah  gangguan kanak-kanak yang biasa ditemui dan boleh berterusan sehingga usia remaja dan dewasa. Gejala terjadi termasuk kesukaran memberi fokus dan perhatian, kesukaran mengawal tingkah laku dan hiperaktif (terlebih aktif).

Berikut perbezaan antara ADHD (dewasa) dengan bipolar disorder:

1. ADHD berada dalam kategori neurodevelopmental disorder sama seperti Autisme. Manakala, bipolar disorder berada dalam kategori mood disorder.

2. ADHD ialah masalah kecelaruan fungsi-fungsi eksekutif pada diri. Manakala, bipolar disorder ialah masalah kecelaruan mood (perasaan).

3. Simptom-simptom ADHD terjadi kepada kanak-kanak semasa kecil (childhood onset). Manakala, simptom-simptom bipolar tidak ada pada zaman kanak-kanak kerana mereka tiada masalah semasa kecil.

4. Ciri utama ADHD ialah masalah tumpuan. Manakala, ciri utama bipolar ialah perubahan mood yang ekstrim.

5. Perubahan mood ADHD adalah dalam bentuk emosi yang berlebihan (intense/overemotional) apabila marah, gembira, sedih, sayang, benci, kecewa, seronok, teruja dan sebagainya. Perubahan mood bipolar adalah dalam bentuk tiga jenis episod iaitu mania, depresi dan mixed mania (mania dan depresi).

Antara kelemahan fungsi-fungsi eksekutif individu ADHD ialah dari segi kecekapan memori kerja, kecepatan memproses maklumat, pengurusan tugasan, pengurusan tumpuan, pengawalan emosi, pengekalan motivasi diri dan pengawasan tindakan diri.

Masalah kecelaruan fungsi-fungsi eksekutif individu ADHD tidak dipengaruhi oleh episod mania, depresi ataupun mixed mania. Tetapi, individu ADHD boleh mempunyai bipolar disorder atau masalah kesihatan mental lain.

Perkongsian dengan izin penulis asal, Minhaj Suhaimi

Artikel Lain Untuk Di Baca