Adakah Anda Tahu Bagaimana Untuk Baca 200 Buku Dalam Setahun?

Membaca membuatkan kita bermimpi dan tidak takut untuk bercita-cita bukan? Membaca juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan dapat memantapkan tahap komunikasi yang tinggi. Menurut Charles Chu dari qz.com, dia berkata jika kita memperuntukkan  masa yang dihabiskan dengan sosial media untuk membaca, kita sebenarnya mampu untuk menghabiskan 200 buah buku setahun.

Seseorang pernah bertanya kepada Warren Buffet, CEO Berkshire Hathaway di Amerika Syarikat tentang rahsia kejayaannya, lalu dia menjawab:

“Read 500 pages like this every day. That’s how knowledge works. It builds up, like compound interest. All of you can do it, but I guarantee not many of you will.”

Setelah mendengarkan kata-kata ini, Charles membuat kiraan, berapa jam sebenarnya kita perlu membaca setiap hari, untuk mencapai target 200 buku setahun.

Antara cara yang dilakukan Charles untuk mencapai target tersebut ialah:

1. Jangan Berhenti Sebelum Bermula

Ada dalam kalangan kita sering mengeluarkan kenyataan berkenaan buku.

“Saya sibuk, tak sempat.”

“Saya tak minat buku.”

Anda tidak perlu minat semua jenis buku untuk mula membaca dan anda tidak perlukan banyak masa sebenarnya untuk membaca. Apa yang diperlukan hanyalah anda harus membuat rutin secara berterusan. Mulakan sahaja dengan apa-apa genre buku yang anda minat, lama-kelamaan buku tersebut akan mengenalkan anda kepada buku lain dengan topik yang lebih pelbagai.

2. Jom Kira

Mengikut kiraan yang dibuat Charles, penduduk Amerika membaca 200 hingga 400 patah perkataan dalam masa seminit. Sebuah buku bukan fiksyen pula biasanya mempunyai 50,000 patah perkataan.

Maka kiraan ringkas yang boleh dibuat seperti di bawah:

200 (buku setahun) x 50 ribu patah/buku = 10 juta (patah perkataan)

10 juta(patah perkataan) ÷ 400 patah/minit = 25 ribu minit

25 ribu minit ÷ 60 minit = 417 jam

Jadi, anda hanya memerlukan 417 jam setahun untuk menghabiskan 200 buku. Masih terasa banyak? Ok, kita bahagikan lagi 417 jam kepada 365 hari, bermakna anda hanya perlu peruntukkan masa sekitar 1 jam 15 minit sahaja setiap hari untuk membaca!

3. Peruntukkan Masa

Hakikatnya membaca buku bukan suatu yang sukar. Yang sukar ialah menggunakan masa yang dihabiskan dengan lihat isu selebriti dan drama di media sosial untuk membaca. Selain itu, yang sukar juga berhenti ‘scroll’ apa yang ada di sosial media.

4. Membaca Perlukan Strategi

Apa yang ada di media sosial sememangnya direka secara ‘addictive’.  Anda lebih tahu bagaimana ia dapat mengganggu fokus anda ketika melakukan suatu kerja. Jadi, apabila ingin membaca, jauhkan diri dari segala jenis gajet yang ada berhampiran anda.

Jika target anda ialah untuk menambahkan bacaan berbanding mendalami sesuatu topik, maka tidak perlu terlalu memilih medium yang digunakan. Anda boleh menggunakan kemudahan telefon bimbit untuk membaca apa sahaja maklumat yang ada di internet pada bila-bila masa terluang yang ada seperti semasa menunggu bas atau sebelum tidur.

Oleh itu, membaca buku bukanlah suatu yang sukar. Namun semua ini bergantung kepada diri kita sama ada mahu atau tidak. Percayalah kalau anda mulakan membaca buku hari ini dengan istiqamah, lama-kelamaan anda akan merasa ada suatu yang berharga apabila membaca.

Sumber: Quartz

Artikel Lain Untuk Di Baca