Walaupun setakat ini masih tiada lagi rawatan untuk merawat masalah nyanyuk dan pelupa (Dimentia), namun para saintis telah mengenal pasti beberapa faktor yang boleh mengelakkan diri daripada mendapat masalah ini.
Lakukan tips-tips ini terutama bagi mereka yang sudah ada masalah kesihatan, masalah ingatan dan terdapat sejarah dalam ahli keluarga yang mempunyai masalah mental.
Antara tips tersebut ialah:
1. Senaman dan aktiviti fizikal
Senaman dapat mencegah diri daripada mendapat penyakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi, kanser kolon (usus), kanser payudara, dan masalah berkaitan kesihatan mental seperti sukar untuk tidur (insomnia), anxiety, dan kemurungan (depression).
Dalam jangka panjang ia dapat mengelakkan diri daripada penyakit nyanyuk dan pelupa (dementia).
Malah dalam beberapa kajian menunjukkan dengan melakukan senaman atau aktiviti fizikal yang ringan secara istiqamah dapat membantu memulihkan masalah ingatan yang lemah bagi mereka yang telah pun mengalami masalah ingatan.
Lakukan aktiviti berjalan kaki dan senaman ringan seperti ‘Senaman Melayu Tua’ sudah mencukupi bagi mereka yang telah berusia dan mempunyai masalah kesihatan.
‘Senaman Melayu Tua’ merupakan senam atau pergerakan untuk meningkatkan kecergasan yang diilhamkan oleh orang-orang Melayu dahulu.
Senaman Melayu Tua
Senaman amat penting bagi mereka yang mempunyai risiko mengalami penyakit Alzheimer’s ketika waktu tua kerana mempunyai genetik APOE4 gene variant (faktor yang paling kuat berlakunya Alzheimer’s).
2. Diet mediterranean
Sebagai orang yang tinggal di nusantara, agak sukar untuk kita mengamalkan diet mediterranean. Namun kita masih boleh mengamalkannya dengan mengambil ciri-ciri diet ini ke dalam pemakanan kita.
Antara yang boleh kita amalkan dalam pemakanan kita yang menyerupai diet mediteranean adalah pengambilan buah buahan, sayur-sayuran, snek yang bersumberkan bijirin penuh (whole grains), kekacang (beans dan nuts) dan bijirin (seeds).
Selain itu, kita juga boleh amalkan pengambilan minyak zaitun dan makanan laut seperti (berbanding daging merah), susu dan tenusu (seperti yogurt dan keju). Pemakanan sihat ini terbukti dapat mengelakkan penyakit jantung, dan merendahkan risiko daripada mendapat penyakit kanser dan dementia.
3. Tidur yang berkualiti
Mendapat tidur yang berkualiti sangat diperlukan oleh tubuh badan. Dalam pelbagai kajian menunjukkan bahawa tidur selama 6 hingga 8 jam sangat penting untuk fungsi otak kerana proses pembelajaran dan mengingat dapat disimpan dalam otak semasa tidur.
4. Latihan minda
Pelbagai kajian mendapati mereka yang aktif melakukan latihan minda seperti membaca, menulis, melakukan permainan silang kata dan soduku serta melakukan perbincangan sihat sesama rakan dapat mengekalkan kekuatan minda dan ingatan apabila semakin berusia.
Saya juga turut melakukan aktiviti membaca dan menghafal di awal pagi sebelum dan selepas solat Subuh.
5. Hubungan sosial
Hubungan sosial sesama keluarga dan rakan dapat memberikan kesan baik pada kesihatan kita apabila kita semakin berusia.
Banyak kajian mendapati mereka yang mengalami kemurungan (depression) dan masalah mudah lupa biasanya adalah mereka yang rasa keseorangan atau kesunyian.
Carilah rakan-rakan yang memahami dan dapat membantu masalah anda. Hal ini kerana ia dapat merendahkan tekanan perasaan (stress) dan dapat menggembirakan anda. Seterusnya dapat mengelakkan anda mengalami masalah mental.
Jadi, masalah nyanyuk dan pelupa adalah masalah yang semakin serius. Ramai orang yang berusia seawal 40-an sudah mula mengalami masalah ini tanpa mereka sedari.