Ada Sebuah Makam Di Tengah Ruang Tamu Vila Ini

Bila dilihat dari luar, vila ini nampak normal seperti rumah-rumah lain.

Via Oddity Central

Tetapi bila melangkah masuk ke dalam melalui pintu depan, anda tidak akan menemui meja kopi seperti kebiasaan di ruang tamu sebaliknya sebuah makam marmar lengkap dengan kuil untuk orang yang ditanam di dalam tu.

Via Oddity Central

Tinggal di dalam rumah yang mempunyai kubur kedengaran seperti plot cerita seram, namun itu adalah hari-hari biasa bagi penghuni Villa Makam Tan Thac di wilayah Ben Tre, Vietnam ini.

Umumnya orang mati wajib dikebumikan di tanah perkuburan, kuil atau gereja mengikut garis undang-undang Vietnam. Tetapi rumah ini special case sebab ada kisah yang meruntun hati.

28 Januari 1960

Cerita ini bermula apabila Dang Thi Nhan melahirkan seorang bayi perempuan. Dia menamakan anaknya, Tran Thi Kim Lien.

Anak itu membesar dalam kemiskinan. pada usia 18 tahun, dia jatuh cinta dengan seorang pemilik bot nelayan dan tiga tahun kemudian, mereka berdua berhijrah ke Amerika Syarikat (AS).

Lien menjadikan merias kuku sebagai kerjaya sebelum memulakan perniagaan hiasan dalaman. Hidupnya mula selesa dan dia mampu mengirim wang kepada keluarganya di tanah air.

Awal tahun 2000-an

Semasa balik kampung, Lien beritahu emak dan tiga orang saudara lelakinya yang dia merancang untuk pulang ke rumah buat selama-lamanya dan meminta mereka untuk membina sebuah vila besar bagi menggantikan pondok tempatnya membesar itu.

Dia mahu keluarganya bersatu di bawah bumbung yang sama dan segala kos pembinaan ditanggung beres olehnya.

Tahun 2006

Rumah banglo itu siap dibina dan menjadi kediaman seluruh keluarga Tan Thac. Namun apa yang menyedihkan, Lien hanya sempat tinggal beberapa bulan di situ.

Tahun 2007

Selepas pulang dari AS dan pindah masuk ke rumah, Lien jatuh sakit dan disahkan menghidap kanser. Dia mendapatkan rawatan daripada para doktor tempatan namun keadaan dia bertambah tenat.

Akhirnya dia terbang semula ke AS untuk rawatan. Sedar yang dia tidak akan kembali lagi, Lien meminta emaknya untuk kabulkan permintaannya yang terakhir.

10 Mei 2007

Lien meninggal dunia. Jasadnya dibawa pulang ke Vietnam dan dikebumikan mengikut permintaannya.

“Saya tak pernah tinggal dalam rumah besar. Jadi bila saya mati, tolong tanam saya di dalamnya.” pinta wanita itu berulang kali kepada emaknya.

Keluarga itu mengupah para pekerja untuk memotong lantai marmar, menggali kubur Lien sebelum jasadnya disemadikan dalam makam marmar yang besar. Mereka juga mendirikan kuil, lengkap dengan gambar, lilin dan colok.

Majlis pengebumiannya dihadiri oleh orang-orang kampung termasuk para pihak berkuasa bagi memberi penghormatan terakhir.

Dang Thi Nhan sentiasa memberitahu kepada para pelawat yang vila itu dibina dengan wang anak perempuannya, itu saja cara bagi menunaikan wasiatnya, iaitu dikelilingi oleh keluarganya walaupun selepas mati.

Via Oddity Central

Berita ada makam di tengah ruang tamu vila itu tersebar ke seluruh wilayah Ben Tre, termasuk khabar angin cerita hantu dan fenomena misteri. Ramai yang mengatakan rumah itu berhantu.

Namun bagi keluarga Lien yang sudah tinggal di situ selama 12 tahun, mereka tidak pernah mengalami apa-apa kejadian aneh.

Kini, Vila Makam tersebut dihuni oleh adik bongsu Lien, Tran Van Tuan dan keluarganya. Dia merasakan kehidupan di dalam rumah itu adalah normal selain daripada menerima kunjungan orang ramai yang mahu melihat sendiri legenda di sebalik vila tersebut. Apa pun, dia gembira kerana ‘ditemani’ kakaknya setiap masa.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca