Abang Bomba Panjat Tiang Setinggi 10 Meter Demi Selamatkan Anak Beruk

Demi menyelamatkan seekor anak beruk, anggota bomba sanggup memanjat tiang setinggi 10 meter. Kejadian ini dilaporkan berlaku di Taman Budi, Pasir Hor dekat Kota Bahru, Kelantan semalam.

Difahamkan, anak beruk yang diberi nama Black itu tidak dapat turun gara-gara terbelit wayar tiang telekomunikasi. Dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tunjung, Black yang berusia tujuh bulan itu akhirnya berjaya dibawa turun tanpa sebarang kecederaan.

Menurut Pegawai Bomba Kanan II iaitu Suhardi Zakaria, pihaknya menerima panggilan berhubung kecemasan sekitar jam 5.25 petang sebelum bergegas ke lokasi.

“Didapati seekor anak beruk terbelit tali wayar di tiang telekomunikasi dan pihak kami mengambil masa kira-kira 18 minit untuk membawa turun haiwan itu,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Haiwan peliharaan itu dikatakan terlepas daripada tali sewaktu bermain dengan anak pemiliknya sebelum ia bertindak memanjat tiang telekomunikasi berdekatan.

Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi anak beruk itu apabila ia terbelit pada wayar telekomunikasi sebelum pemiliknya menelefon bomba bagi meminta bantuan.

“Bomba berusaha menggunakan tangga sambungan bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat anak beruk itu,” katanya.

Operasi menyelamat itu disertai lapan anggota yang diketuai oleh Suhardi sendiri.

Selepas berjaya dibawa turun, haiwan itu kemudiannya diserahkan kepada pemiliknya iaitu Muhammad Fakaruddin Abdul Ghani.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca