Kalau sebelum ini warganet berasa pelik dengan telatah seorang lelaki Jepun yang membuat cincin pertunangannya daripada sisa kuku yang disimpan selama setahun, kali ini bertambah pening kepala apabila seorang lelaki dari London tekad mencampurkan emas dengan sperma terakhirnya sehingga menjadi sebentuk cincin teristimewa buat isteri.
Cincin itu bakal dijadikan hadiah sempena sambutan Hari Krismas nanti kepada isterinya. Walaupun kedengaran aneh, lelaki itu berkata bahawa ia merupakan satu gurauan untuk isteri kesayangannya kerana wanita terbabit suka menerima pelbagai hadiah unik.
Bagi memastikan idea itu berjaya dilaksanakan, bapa kepada lima anak itu melakukan vasektomi atau pemandulan pada akhir November lalu dan berharap sperma itu ‘diabadikan’ dalam kepingan emas.
Lelaki itu telah menghubungi satu laman web tempatan Bark.com untuk menjayakan idea tersebut.
“Saya mencari tukang emas yang boleh meletakkan sperma saya ke dalam cincin dan diberikan kepada isteri saya sempena Krismas nanti.”
“Saya tahu ini sangat pelik tetapi saya ingin melakukan sesuatu yang lucu dengan beberapa sperma terakhir yang saya dapat untuk dijadikan kenangan,” katanya kepada Mirror.
Tambahnya, dia turut tidak sabar melihat reaksi isterinya nanti saat menyarung cincin tersebut nanti.