9 Rekod Dunia Aneh Milik Malaysia

Malaysia dikagumi oleh orang ramai kerana rakyatnya berjaya mengecapi pelbagai kejayaan di persada antarabangsa.

Kami senaraikan sembilan rekod dunia aneh yang berjaya dicipta oleh rakyat Malaysia:

1. Perdana menteri tertua di dunia

Tun Dr. Mahathir Mohamad lahir di Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 1925.

Usia Tun M semasa beliau dilantik untuk menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-7 ialah 92 tahun dan 305 hari pada 10 Mei 2018.

Umum mengetahui bahawa ini bukan kali pertama Tun M menjawat jawatan Perdana Menteri.

Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-4 selama 22 tahun dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.

Sebelum Tun M, rekod ini dipegang oleh Raja Fahd bin Abdul Aziz dari Arab Saudi yang berusia 84 tahun sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2005.

2. Wang kertas paling besar di dunia

Bank Negara Malaysia telah menghasilkan wang kertas terbesar di dunia yang bersaiz 22 cm x 37 cm pada 29 Disember 2017.

Dikatakan bahawa 6,000 keping wang kertas dicetak untuk memperingati ulang tahun ke-60 peristiwa menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Wang itu dikeluarkan dalam bentuk sekeping RM600 tetapi ia dijual untuk RM1,700 setiap satu.

3. Manusia terpantas di dunia untuk tebuk empat buah kelapa menggunakan jari

Ho Eng Hui telah menggunakan jari telunjuknya untuk menebuk empat kelapa dalam tempoh masa 12.15 saat pada 21 April 2011.

4. Kereta api terberat di dunia ditarik menggunakan gigi

Velu Rathakrishnan menggunakan giginya untuk menarik dua gerabak komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) di landasan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2003.

Walaupun jumlah dua gerabak itu ialah 260.8 tan, Velu tetap berjaya untuk menarik gerabak berkenaan sejauh 4.2 meter.

5. Swafoto paling banyak diambil di dunia dalam masa 60 minit pada 2014

Sumber: Astro Awani

Hazwan Noor ialah seorang pelajar di Politeknik Merlimau pada tahun 2014.

Beliau memecah rekod dunia dalam sebuah acara anjuran Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) yang diadakan bersempena sambutan kemerdekaan.

Astro Awani melaporkan bahawa kiraan tidak rasmi jumlah swafoto yang berjaya diambil dalam masa satu jam oleh Hazwan ialah 656 gambar.

Walaupun begitu, hanya 613 foto sahaja yang diterima. Untuk memecahkan rekod terdahulu yang dipegang oleh Melinda Shankar, mereka perlu mengambil 10 swafoto secara purata dalam masa satu minit.

Pelakon wanita yang berasal dari Kanada itu berjaya memegang rekod berkenaan selepas mengambil 421 swafoto dalam masa satu jam pada 2014.

Berkat kerja keras Hazwan dalam melatih diri untuk berswafoto, usaha beliau telah membuahkan hasil yang membanggakan rakyat Malaysia.

6. Susunan duit syiling terpanjang

524 orang sukarelawan daripada World Wildlife Fund Malaysia dan Dumex Sdn Bhd telah membuat susunan syiling terpanjang di dunia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 6 Ogos 1995.

Dilaporkan bahawa jumlah keseluruhan duit syiling 20 sen adalah sebanyak 2,367,234 keping untuk pembentukan sepanjang 55.63 km.

7. Guna pergelangan tangan untuk pecah telur terbanyak dalam masa 30 saat

Sumber: Business Insider

Seorang pembantu restoran bernama Sivasamy a/l Balakrishnan yang berasal dari Kampung Panaikkulam, Perak itu berjaya memecahkan 25 biji telur dalam masa 30 saat.

Sivasamy meletakkan telur di belakang tapak tangan lalu menggunakan pergelangan tangan untuk memecahkan telur tersebut.

Rekod tersebut dicipta pada 20 September 2005 di tempat kerjanya iaitu Restoran Naina Mohammed di Ipoh, Perak.

8. Manusia terpantas berjalan 1.6 kilometer sambil mengimbang bola di atas kepala pada 2010 

Low Yee Ming telah mencipta rekod di Rekod Dunia Guinness dengan imbang bola di kepala sambil bergerak sejauh 1.6 kilometer dalam masa 8 minit 35 saat di Stadium MPSJ pada 20 Mac 2010.

9. Jumlah salinan kostum ilusi paling banyak di dunia dalam masa 60 saat

Dua orang ahli silap mata iaitu Avery Chin dan Sylvia Lim telah berjaya menyalin pakaian secara ilusi sebanyak 24 kali dalam masa 60 saat.

Kedua-dua orang ahli silap mata itu mencipta rekod berkenaan di sebuah majlis di George Town, Pulau Pinang pada tahun 2017.

Walaupun mempunyai peraturan yang sangat ketat di mana setiap pakaian tidak boleh terdiri daripada yang sebelumnya, Sylvia berjaya menukar kepada pakaian baharu dalam setiap 2.5 saat.

Rekod dunia manakah yang paling menarik perhatian anda?

Penulis

  • Amni Nazifah Mohd Thani adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Sekiranya anda ingin membaca lebih banyak artikel mengenai Rekod Dunia Guinness, anda boleh klik pautan di bawah:


Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca