9 Nasihat Kehidupan Yang Tak Ramai Peduli

Quora merupakan sebuah laman sosial di mana anda tanya, orang-orang dari serata dunia akan menjawab soalan anda. Dari persoalan yang serius seperti masalah ekonomi dunia sehinggalah santai mengapa rumah SpongeBob berbentuk nanas.

Suatu hari, ketika saya sedang melayari Quora, saya terjumpa persoalan ‘Apakah nasihat kehidupan yang tak ramai orang ambil serius?’

Julie Gurner, seorang ahli psikologi yang telah bertemu dengan ribuan orang ini menjawab soalan tersebut dengan menyatakan pandangannya dan saya rasa menarik untuk berkongsi secebis nasihatnya dengan anda:

1. “Jangan buat keputusan semasa marah.”

Ahli psikologi ini telah menyaksikan berapa ramai orang yang terjebak dengan dadah, curang, bergaduh dan berhenti kerja hanya sebab mereka “marah”. Jangan buat begitu, elakkan nasi menjadi bubur yang tawar untuk ditelan di kemudian hari.

2. “Jadi diri sendiri.”

Ramai orang menderita kerana tertekan mengejar sesuatu yang dirasakan bukan untuk mereka misalnya lelaki terpaksa mengahwini perempuan (walaupun dia gay) dan masuk ke dalam karier yang dibenci supaya dapat buat orang gembira. Tekanan ini boleh jadi datang daripada rakan-rakan, keluarga, masyarakat dan aras yang diletakkan di bahu sendiri.

3. “Jangan beratkan kepala dengan hal remeh.”

Ini antara nasihat padu untuk hidup dengan gembira. Pilih perjuangan hidup anda dan lepaskan perkara-perkara remeh daripada memenuhi ruang hati dan kotak fikiran.

Apabila menyedari ada perkara lebih besar nak fikir seperti masalah kewangan, penyakit berat, keluarga tersayang dan cita-cita, anda tiada masa lagi untuk jaga tepi dan hal dalam kain orang yang tiada kaitan dengan anda serta mahu fokus pada perkara yang lebih penting.

 4. “Tahu dirimu begitu berharga.” 

Sedar akan nilai diri boleh melindungi anda daripada banyak pergelutan yang memberi impak kepada hubungan, kerjaya dan hidup. Apabila meletakkan harga diri bernilai infiniti, anda akan pergi ke tempat yang lebih menghargai anda.

5. “It’s okay untuk minta tolong.” 

Kadang kala hidup ini pasti ada yang tersekat. Ahli psikologi ini menyatakan bahawa ramai orang yang berjumpa dengannya mengatakan alangkah bagusnya sekiranya mereka meminta tolong lebih awal, bukan berdiam diri menunggu sehingga masalah menjadi lebih parah dan banyak peluang terlepas.

6. “Siapa calon pasangan anda merupakan keputusan terbesar dalam hidup.”

Anda akan berkongsi hidup dengannya, hari-hari menghadap wajahnya dan menghabiskan masa bersamanya. Soal kewangan juga bergantung pada cara anda berdua mendapatkan dan menghabiskan wang, kemampuan menyimpan dan lain-lain. Oleh itu, cari calon pasangan yang sesuai dan saling menyokong antara satu sama lain.

7. “Luangkan masa dengan orang tersayang.” 

Apabila mereka sudah tiada, Tuhan saja yang tahu bagaimana memori dan perasaan rindu itu mendera anda.

8. “Masa terbaik adalah sekarang.”

Sama ada anda sedang berkeinginan untuk membuat simpanan, melabur untuk masa depan atau mahu menulis buku, cuba mula bertindak hari ini supaya insya-Allah dapat menuai hasil bila sampai masa nanti. Masa tua kelak tidaklah meroyan dan menyesal kerana melepaskan waktu berlalu dengan pantas.

 9. “Dendam terbaik adalah hidup bahagia.”

Tidak sedikit orang yang emosinya dibakar api kemarahan dan dendam. Seingat saya, Prof Dr Muhaya pernah memberi analogi yang menarik dengan mengatakan bahawa ada orang mati bukan sebab dipatuk ular, tetapi racun bisanya.

Orang buat kita itu diibaratkan patukan ular manakala kesukaran untuk memaafkan dan asyik teringat kesalahan orang pula adalah toksik yang meracuni diri kita. Oleh itu, antidot terbaik adalah memaafkan dan melupakan dia, menganggap diri kita sendiri pun tidaklah sempurna mana serta teruskan mencari kebahagiaan hidup.

Untuk baca lagi artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pautan di bawah

Artikel Lain Untuk Di Baca