9 Hutan Yang Paling Misteri Di Seluruh Dunia

Acap kali kita mendengar pesanan orang tua kepada kita, sebelum masuk hutan kita perlu menjaga adab dan tutur kata.

Hal ini demikian kerana, ia merupakan tempat yang dipenuhi dengan penghuni yang secara zahirnya tidak berbentuk seperti manusia dan perkara-perkara misteri yang berlaku di dalam hutan selama beratus tahun menambahkan lagi perasaan seram dan misteri setibanya di sana.

Berikut merupakan sembilan hutan yang paling misteri di seluruh dunia:

1. Hutan Hoia-Baciu, Romania

Sumber: boombastis.com

Terletak di barat laut Romania, hutan Hoia-Baciu ini juga dikenali sebagai “Segi Tiga Bermuda” Romania. Hal ini demikian kerana, terdapat beberapa kes kehilangan di dalam kawasan tersebut.

Antaranya, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang hilang telah ditemui semula lima tahun kemudian dalam keadaan masih seperti kali pertama dia berada di dalam hutan lima tahun yang lepas. Selain itu, 200 ekor kambing dan seekor anjing juga hilang secara tiba-tiba.

Banyak kisah-kisah misteri yang berlaku di dalam kawasan ini malah penduduk di sekitar kawasan itu juga sering memberi amaran kepada pengunjung yang mahu memasuki hutan ini supaya lebih berhati-hati.

2. Hutan Broceliande, Perancis

Sumber: France Travel Tips

Bagi peminat kisah lagenda Raja Arthur dan Merlin. Hutan Fôret De Brocéliande ini terletak di Britanny, Perancis.

Perkara yang menyeramkan tentang hutan ini adalah dikatakan kakak tiri kepada Raja Arthur iaitu Morgan Le Fay yang juga merupakan seorang ahli sihir seperti Merlin telah mengurung lelaki-lelaki muda yang tidak setia di dalam kawasan ini.

Selain itu, kubur Merlin juga dikatakan terletak di dalam hutan ini dan pada tahun 1990 tempat ini pernah berlaku kebakaran yang memusnahkan daun-daun pokok dan menyebabkan ia kelihatan sangat mengerikan.

3. Hutan Smolensk, Rusia

Sumber: Flickr

Hutan ini menjadi terkenal dengan kisah misterinya apabila pada tahun 1943 sewaktu perang dunia kedua sedang berlaku, anggaran sebanyak 20,000 kubur askar tentera dijumpai pada waktu itu.

Selain itu, terdapat kes tragik yang berlaku pada tahun 2010 di mana sebuah kapal terbang terhempas dan meragut nyawa kesemua 96 penumpang yang terdiri daripada ahli politik, tentera dan ahli perniagaan.

Tidak dapat disangkal, hutan ini diselubungi dengan insiden-insiden misteri yang meragut nyawa ramai manusia.

4. Long Trail Vermont, Amerika Syarikat

Sumber: greenmountainclub.org

Mempunyai tapak mendaki sepanjang 438 kilometer, hutan ini pernah mempunyai kes misteri di mana seorang pelajar kolej Bennington, Paula Jean Welden telah hilang di kawasan pendakian pada tahun 1946.

Selain itu, terdapat empat lagi kes kehilangan pendaki yang dilaporkan pada tahun 1945 dan tahun 1950 dan sehinggalah hari ini ia masih lagi menjadi misteri.

5. Hutan Schwarzwald, Jerman

Juga dikenali sebagai Hutan Hitam yang diambil daripada maksud perkataan Schwarzwald. Tempat ini dikatakan mempunyai kisah-kisah misteri yang pernah terjadi. Misalnya, kisah tentang penampakan seorang lelaki dengan matanya terkeluar dan wajah yang tidak dapat dikenali sedang merayau di kawasan itu.

Selain itu, ada juga kanak-kanak yang memasuki tempat ini untuk meluahkan dosa mereka dan langsung tidak muncul keluar dari hutan ini.

6. Hutan Pine Barrens, Amerika Syarikat

Sumber: Philadelphia Magazine

Terdapat satu lagenda di dalam hutan ini di mana kelibat makhluk yang kepalanya kelihatan seperti kambing, memiliki sayap seperti kelawar dan tangan seperti cangkuk membuatkan ia menjadi tempat yang menyeramkan dan misteri.

Keadaan hutan yang dipenuhi dengan pokok-pokok yang tidak sihat dan penuh asid juga menambah aura seram kepada hutan ini.

7. Hutan Blairadam, Scotland

Sumber: Robbie2ms

Keluarga Wilson yang telah pulang daripada aktiviti mendaki dan berkelah di dalam hutan ini telah menghidapi penyakit selsema tanpa henti.

Lebih menyeramkan lagi, gambar-gambar mereka yang telah diambil sewaktu di sini kelihatan entiti sedang berdiri memandang anak-anak keluarga Wilson dengan berpakaian seperti di zaman Viktoria.

8. Pulau Patung, Mexico

Sumber: Top Tenz

Terletak di pulau kecil di bahagian selatan Mexico, tempat ini dipenuhi dengan koleksi patung-patung, kepala patung dan anggota badan patung yang di gantung pada pokok-pokok di dalam hutan.

Penduduk berdekatan juga dikatakan pernah mendengar suara-suara bisikan dari dalam patung itu sendiri. Sebab utama semua patung itu digantung adalah untuk memelihara hutan ini daripada berlaku perkara yang tidak baik.

9. Bukit Taman Tawau, Malaysia

Sumber: Sabah Tourism Board

Terletak di Tawau, Sabah, hutan taman tebal ini mempunyai pokok-pokok yang tertinggi di dunia dan sering menjadi tarikan pelancong.

Namun begitu, penduduk tempatan percaya bahawa tempat ini mempunyai entiti lain yang akan berkeliaran pada waktu malam. Selain itu, tempat ini juga sering kali berlaku kes kehilangan di sekitar kawasan air terjun.

Untuk membaca artikel lain berkaitan misteri, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca