Untuk Jaga Penampilan Mereka, Ini 8 Selebriti Wanita Korea Selatan Yang Amalkan Diet Ketat

Hallyu atau gelombang Korea sudah tersebar ke setiap pelosok dunia. Budaya, hiburan, makanan mahupun fesyen mereka menjadi ikutan ramai terutamanya golongan remaja.

Buktinya, apabila kita sebut sahaja BTS, EXO dan Twice, pasti ramai yang mengenali mereka. Malaysia turut tidak ketinggalan kerana setiap tahun pasti ada artis dari Korea Selatan yang dipanggil untuk mengadakan konsert dan pertemuan bersama peminat.

Selain itu, drama dan filem dari Korea Selatan turut disiarkan di beberapa stesen televisyen kerana ia mendapat permintaan tinggi dari kalangan peminat.

Oleh itu, kebanyakan artis Korea mengamalkan diet untuk menjaga penampilan mereka. Berikut kami kongsikan lapan selebriti wanita Korea Selatan yang mengamalkan diet yang ketat:

1. Bae Suzy

Bekas ahli kumpulan Miss A yang kini terkenal sebagai pelakon ini sangat dikenali dengan wajahnya yang jelita serta mempunyai tubuh badan ideal.

Namun, Suzy telah mengamalkan diet yang sangat ketat dengan hanya mengambil sepotong dada ayam, pisang atau ubi keledek dan susu rendah lemak untuk sarapannya demi mendapatkan tubuh badan tersebut yang dicemburui para gadis.

Untuk makan tengah hari pula, dia hanya mengambil sedikit beras perang dan sedikit salad. Seterusnya, Suzy hanya menikmati dua biji ubi keledek sahaja untuk makan malamnya dan Suzy turut melakukan senaman.

2. IU

IU atau nama sebenarnya iaitu Lee Ji-eun turut mengamalkan diet yang sangat ketat. IU akan mengambil sebiji epal untuk sarapannya pada setiap pagi.

Selain itu, Ji-eun akan mengambil dua biji ubi keledek untuk makan tengah harinya. Dia kemudiannya akan mengambil minuman protein untuk makan malamnya.

Senaman juga merupakan salah satu rutin yang diamalkan oleh IU. Dalam pada itu, terdapat beberapa individu yang cuba untuk mengikuti diet yang diamalkan oleh IU ini selama seminggu.

Walaupun diet ini sangat berkesan tetapi ianya sangat menyeksakan. Pengambilan makanan yang sangat minima menyebabkan mereka tidak sanggup untuk meneruskan diet tersebut.

3. Park Shin-hye

Pelakon terkenal ini turut tidak terkecuali dalam mengamalkan diet seharian yang sangat ketat. Hal ini kerana menu wajib yang diamalkan oleh Shin-hye ialah timun dan kubis.

Shin-hye akan mengambil sebatang timun dan segelas susu rendah lemak untuk sarapannya pada setiap pagi. Dia hanya mengambil separuh pinggan beras perang dan kubis untuk makan tengah harinya. Untuk makan malam pula, pelakon jelita ini mengambil sebatang timun dan kubis.

4. Kang So-ra

Pelakon berkenaan turut mengamalkan diet yang ketat untuk menjaga tubuh badannya. So-ra menikmati yogurt tanpa perisa dan sebiji epal sebagai sarapan pagi. Selain itu, nasi putih dan bubur labu menjadi pilihannya untuk makan tengah hari dan makan malamnya pula termasuk sekeping roti, sebiji ubi keledek dan salad.

5. Seol-hyun

Seol-hyun daripada kumpulan AOA memiliki tubuh badan yang langsing membuatkan dia menjadi pilihan para lelaki di luar sana.

Namun, Seol-hyun mengamalkan diet ‘a meal a day’ yang mana dia hanya mengambil sebiji ubi keledek, dada ayam dan juga telur rebus untuk makanan sehariannya.

6. Soyou

Sumber : Google Image

Soyou yang merupakan bekas ahli kumpulan Sistar ini mempunyai vokal suara yang sangat sedap dan sehingga kini, dia masih kekal aktif sebagai seorang penyanyi.

Memiliki suara yang lunak ditambah bentuk tubuhnya yang menawan menjadi faktor Soyou diminati sehingga kini. Untuk menjaga penampilannya, Soyou mengambil sebiji ubi keledek untuk sarapan pagi.

Untuk menu tengah harinya pula, penyanyi ini akan mengambil tiga biji telur rebus dan sekeping roti bakar manakala untuk menu makan malam, Soyou hanya mengambil tiga potong gimbap (nasi dengan rumpai laut).

7. Ailee

Penyanyi ini mempunyai vokal yang sangat powerful sehingga dia berjaya merangkul banyak anugerah. Walau bagaimanapun, Ailee tidak terkecuali daripada menjadi salah seorang artis Korea Selatan yang mengamalkan diet yang ketat.

Menu diet yang diamalkan olehnya tidak melebihi 500 kalori sehari. Ailee memilih untuk mengambil sebiji epal, dada ayam, susu kacang soya dan timun pada waktu pagi.

Penyanyi berkenaan mengambil ubi keledek, sayur, yogurt tanpa perisa dan juga telur rebus untuk makan tengah harinya. Untuk makan malamnya pula, dia akan mengambil udang, sayur dan pisang.

8. Gyuri

Memiliki wajah yang jelita, Gyuri juga mempunyai cara dietnya yang tersendiri. Penyanyi, pelakon dan penyampai radio ini mempunyai jadual makan yang agak berbeza.

Dia akan makan sebanyak empat kali sehari. Gyuri akan mengambil dada ayam, ikan, telur rebus dan juga susu rendah lemak untuk sarapan paginya. Dia akan mengambil daging, sayur dan jus tomato untuk makan tengah hari.

Gyuri akan makan sebanyak dua kali pada waktu malam. Untuk sesi pertama, dia mengambil daging, tauhu, kentang rebus dan kubis manakala Gyuri akan mengambil daging dan tauge sahaja untuk sesi kedua makan malamnya.

Kesimpulannya, tiada siapa yang mampu memiliki tubuh badan yang cantik tanpa berusaha. Frasa ‘no beauty without pain’ ini sangat sesuai digunakan untuk menunjukkan diet yang diamalkan oleh sebahagian besar selebriti Korea Selatan untuk memastikan penampilan mereka sentiasa menarik dan menjadi ikutan ramai.

Penulis

  • Nani Izwani Ahmad Anuar merupakan pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca