8 Kejuaraan Liga Dalam 11 Musim, Dominasi Barcelona Buat Pesaing Gigit Jari

Barcelona dinobatkan sebagai juara Liga Sepanyol bagi musim 2018/19 selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Levante, awal pagi tadi. Barca memerlukan kemenangan untuk bergelar juara selepas pesaing terdekat mereka, Atletico Madrid yang beraksi sebelum itu mencatat kemenangan ketika menentang Valladolid. Kemenangan tipis itu sudah cukup untuk memastikan Barca merangkul gelaran ke-8 dalam 11 musim La Liga.

Barca yang turun tanpa kelibat Messi melancarkan serangan bertali arus sejak awal permainan untuk memburu gol. Namun, kecemerlangan penjaga gol Levante menafikan usaha mereka. Kedudukan 0-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, pengendali Barca, Ernesto Valverde membuat pertukaran mengeluarkan Philippe Coutinho dan membawa masuk ayam tambatan mereka, Lionel Messi. Ternyata kemasukan Messi berjaya merubah tempo dan corak serangan Barca.

Barisan pertahanan Levante nyata tidak dapat mengekang kelicikan Messi apabila bintang Argentina itu tenang mengawal bola dalam keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti mereka, seterusnya melepaskan satu sepakan rendah untuk menewaskan penjaga gol.

Kemenangan itu meletakkan Barca 9 mata di hadapan pasukan di tempat kedua iaitu Atletico Madrid. Skuad kendalian Diego Simeone itu sudah pastinya kecewa dengan kemenangan Barca ini kerana harapan mereka untuk memburu gelaran liga telah terkubur walaupun saingan liga masih berbaki 3 perlawanan.

Kemenangan ini merupakan kejuaraan ke-26 liga dan Barca kini semakin hampir untuk menyamai rekod seteru utama mereka iaitu Real Madrid yang memiliki 33 kejuaraan di Sepanyol.

“Untuk menang kejuaraan liga dengan jarak dan jurang selesa agak sukar dengan pencabar yang ada. Kami sudah melakukannya 2 tahun berturut-turut,” kata Valverde.

“Kami gembira dan melihat para penyokong berseronok membuatkan kami berasa bangga. Namun, kami masih mempunyai cabaran di masa depan.”

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca