8 Fakta Menarik Tentang Squid Game Yang Mungkin Ramai Orang Tidak Tahu

Sejak ia dilancarkan di Netflix pada 17 September lalu, Squid Game yang menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Lee Jung-jae, Park Hae-soo, Wi Ha-joon dan Jung Hoyeon menjadi bualan ramai di media sosial kerana jalan ceritanya yang menarik dan mendebarkan.

Kami akan kongsikan lapan fakta menarik tentang Squid Game yang akan membuatkan anda mahu menonton semula drama bersiri Korea Selatan berkenaan dalam artikel ini.

1. Warna pakaian seragam para peserta memang disengajakan

Sumber: Instagram @netflixkr

Untuk pengetahuan anda, pakaian seragam berwarna hijau yang dipakai oleh para peserta memang disengajakan sebagai simbol memadam personaliti dan individualiti seseorang ketika berada dalam permainan.

Memetik laporan The Smart Local, pengarah Squid Game iaitu Hwang Dong-hyuk mendedahkan bahawa beliau sengaja memilih pakaian seragam berwarna hijau untuk dipakai oleh para peserta kerana ia mengingatkan dirinya kepada baju yang dipakai oleh pelajar sekolah ketika zaman remajanya.

Sumber: Instagram @netflixkr

Pakaian seragam merah jambu dan pelitup muka hitam yang dipakai oleh pengurus permainan pula adalah untuk membuatkan para peserta berasa seperti takut atau terancam. Selain pakaian pengurus permainan, laluan antara dormitori dan arena permainan juga berwarna merah jambu.

2. Tajuk asal Squid Game ialah Round Six

Pada tahun 2019, Netflix mengumumkan siri asli Korea Selatan berjudul Round Six dan ia ditulis dan diarahkan oleh Hwang Dong-hyuk.

3. Permainan kanak-kanak

Sumber: Instagram @netflixkr

Walaupun drama bersiri ini sarat dengan aksi kejam dan penuh berdarah, Squid Game menampilkan pelbagai permainan tradisional kanak-kanak yang terkenal di Korea seperti Mugunghwa Has Bloomed atau lebih kita kenali sebagai Pukul Berapa Datuk Harimau.

Sumber: Instagram @netflixkr

4. Skrip telah siap pada tahun 2009

Menerusi sidang media Netflix, Dong-hyuk menjelaskan bahawa beliau telah siap menulis skrip Squid Game pada tahun 2009. Walau bagaimanapun, ramai orang yang meragui konsep cerita seperti ini pada waktu itu.

5. Set sebenar

Menurut pengarah Squid Game lagi, beliau mahukan set kelihatan realistik dan kesan CGI digunakan seminimum yang mungkin. Menurut aktor Park Hae-soo yang membawa watak Sang-woo, set dan patung gergasi yang para penonton lihat menerusi skrin memang bersaiz besar seperti itu di dunia nyata.

6. 456 orang peserta benar-benar ambil bahagian dalam permainan pertama

Kesemua 456 orang peserta yang menyertai permainan dalam episod pertama adalah pelakon sebenar dan bukannya CGI.

7. Petunjuk penting untuk memenangi permainan telah didedahkan

Sumber: Twitter @sunacode

Apa yang paling menarik tentang drama ini adalah petunjuk untuk para peserta memenangi pertandingan ini tanpa perlu mengambil nyawa antara satu sama lain sebenarnya sudah ada pada dinding dormitori yang didiami oleh mereka sahaja.

Pada dinding berkenaan, terdapat lukisan yang menyerupai ilustrasi dalam buku cerita kanak-kanak jadi ramai orang mungkin tidak sedar tentang petunjuk tersebut.

8. Nama Oh Il-nam boleh menjadi petunjuk terbesar mastermind Squid Game

Dari kiri ke kanan: Gihun (Lee Jung-jae) dan Oh Il-nam (Oh Young-soo). Sumber: Instagram @netflixkr

Nama Oh Il-nam itu sendiri membawa maksud number one man dalam bahasa Korea. Bukan sahaja Il-nam (Oh Young-soo) adalah peserta pertama Squid Game, beliau juga menduduki tangga teratas dari segi kuasa dan harta pada penghujung permainan.

Dalam episod pertama, anda dapat melihat Il-nam sahaja yang tidak dapat dikesan oleh gadis animatronik dalam permainan Red Light, Green Light.

Sudahkah anda menonton Squid Game? Anda boleh tonton trailer penuh di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca