Kebanyakkan pemandu acapkali terlupa atau tidak mempunyai kesempatan untuk meluangkan sedikit waktu untuk periksa kenderaan mereka tambahan apabila tiba pada waktu perayaan. Nampak seperti remeh, namun sekiranya kereta tidak diuruskan dengan betul, ia boleh menjejaskan harga kenderaan ketika hendak dijual ataupun mudah mengalami kerosakan akibat tidak diservis dengan berkala.
Berikut kami kongsikan 7 tips pemeriksaan kereta yang mudah dan berguna untuk anda ikuti:
1.Pemeriksaan Tayar

Jangka hayat penggunaan tayar dapat bertahan lebih lama sekiranya tekanan angin pada tayar dilakukan dengan betul. Tekanan angin juga berbeza-beza kerana bergantung kepada jenama, model dan beban semasa kenderaan. Anda disarankan untuk membuat pemeriksaan tekanan tayar termasuk tayar gantian sekurang-kurangnya sekali sebulan, sebelum membuat perjalanan yang jauh dan jika berlaku perubahan beban kenderaan.
2. Masalah Brek

Brek adalah bahagian yang sangat penting dalam kenderaan dalam memastikan keselamatan pemandu dan penumpang. Beberapa tanda penurunan prestasi brek dapat dikesan melalui simptom seperti bunyi bising pada brek yang dihasilkan, terpaksa menekan brek lebih jauh ke lantai dari kebiasaannya, terasa gegaran luar biasa apabila menekan brek serta kereta seolah-olah ditarik ke kanan atau kiri semasa menekan brek.
3. Radiator

Pemeriksaan berkala terhadap tahap cecair dalam sistem penyejukan kereta perlu dilakukan secara berkala pada radiator yang berfungsi untuk menyejukkan enjin kereta. Sebelum membuka penutup pada radiator, pastikan anda menyemak dahulu dengan melihat sama ada cecair penyejuk radiator telah mencapai garis ‘Full’ atau ‘Max’ di sebelah takungan pendingin.
Jika cecair tidak mencapai garis penuh, tambahkan campuran 50 peratus air dan 50 peratus cecair penyejuk. Namun begitu, sesetengah cecair penyejuk telahpun dicampur air, jadi periksa botol untuk melihat sama ada kita perlu menambah air atau boleh menggunanya terus dan elak daripada menambah sehingga melebihi aras ‘Full‘.
Anda juga perlu diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan jangan sesekali menambah cecair penyejuk kereta ketika enjin masih panas. Manakala ketika memandu, jika jarum ‘temperature‘ anda naik mencecah ‘H’, anda diminta berhentikan kenderaan dan tunggu sehingga sejuk sebelum memeriksa keadaannya.
4. Uji bateri kereta

Sekiranya sistem elektronik kenderaan seperti kunci kawalan jauh atau lampu dalaman anda hanya berfungsi secara rawak, jangan panik kerana kemungkinan disebabkan oleh masalah bateri kereta. Bagi mengekalkan prestasi bateri kereta pada tahap optimum, anda digalakkan untuk menguji bateri kereta sebanyak dua kali setahun. Tahukah anda kebanyakkan pusat servis menawarkan ujian bateri secara percuma yang hanya memakan masa lima minit sahaja?
5. Wiper

Bilah pengelap kaca (wiper) yang bermasalah boleh mengganggu penglihatan kita dan mengancam keselamatan di jalan raya terutamanya pada waktu hujan lebat. Antara amalan mudah yang boleh anda praktikkan adalah membersihkan cermin kereta setiap kali mengisi tangki minyak, membersihkan kotoran pada bilah pengelap dengan tisu lembap serta membuat pemeriksaan jika berlaku sebarang keretakan pada bilah.
6. Minyak Hitam

Minyak enjin adalah nadi kenderaan yang wajib ditukar mengikut tempoh masa pengunaan atau jumlah jarak perjalanan. Secara umumnya, minyak enjin jenis semi-sintetik boleh digunakan sehingga 5,000 kilometer atau 3 bulan manakala minyak sintetik penuh boleh digunakan sehingga 10,000 kilometer atau 6 bulan.
Sebaiknya elakkan daripada menangguh penukaran minyak enjin kerana ia boleh menyebabkan pembentukan enapan dan kerosakan pada bahagian dalam enjin.
7. Kit Kecemasan Kereta

Kit kecemasan kereta adalah salah satu benda penting yang perlu sentiasa ada dalam kereta anda kerana kerosakan kenderaan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira waktu dan tempat. Antara barang yang harus ada dalam kit kecemasan adalah seperti kit pertolongan cemas, alat pemadam api, segitiga amaran reflektif, kabel jumper, kain, tali tunda, alat utiliti serba guna dan lain-lain yang dirasakan berguna.
Dengan perkongsian diatas, diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi ilmu kepada pembaca semua.
Penulis:
- Amir Shafiq bin Mohamad Nazir adalah pelajar Falkuti Filem, Teater dan Animasi.
- Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaidi bin Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Falkuti Filem, Teater dan Animasi.
Untuk membaca artikel berkaitan, klik pada pautan dibawah: