7 Tempat Angker Di Thailand

Setiap tempat yang dikatakan ‘keras’ mempunyai sisi gelap dan cerita tersendiri.

Mengikut kepercayaan orang-orang Thai, roh yang tidak tenteram dan mati dalam keadaan tragis akan tinggal di suatu tempat untuk menghantui manusia yang masih hidup.

Berikut kami kongsikan kisah di sebalik tujuh tempat menyeramkan di negara Gajah Putih ini:

1. Taman Bersejarah Ayutthaya

Suatu ketika dahulu, Ayutthaya merupakan tempat bersemayam raja-raja zaman dulu. Terdapat banyak kuil dan istana bersejarah di situ. Banyak harta seperti emas dan batu-batu permata peninggalan sejarah telah dikebas pencuri.

Tapi ada beberapa barang pusaka yang tidak diambil sebab dipercayai disumpah dan masih tersimpan dalam sebuah kuil terbesar dan berpuaka di pekan tersebut iaitu Wat Phra Sri Sanphet.

Kadang-kadang penduduk tempatan mendakwa pernah ternampak kelibat para pengawal sedang mengawasi istana utama dan beberapa hantu yang berbusana tradisional Thai merayau di sekeliling taman selepas waktu lawatan tutup.  

2. Rumah Jangmuarinnakorn

Turut dikenali sebagai ‘Rumah Singa Putih’, rumah ini dilaporkan sebagai bangunan paling berhantu di Chiang Mai. Rumah agam ini dibina beberapa dekad yang lalu.

Menurut cerita penduduk tempatan, tuan rumah ini sudah diberi amaran bahawa tapak kediaman itu bawa sial tapi dia abaikan dan tetap mendirikan vila mewah. Tuan rumah akhirnya jadi gila dan membunuh seluruh ahli keluarganya di dalam banglo tersebut.

Kini, Rumah Jangmuarinnakorn terbiar kosong dan mereput tanpa isinya sebab tak ada siapa berani beli.

3. Jambatan Sungai Kwai

Jambatan Sungai Kwai di Kanchanaburi ini dibina dengan darah, keringat dan derita para buruh paksa semasa zaman penjajahan Jepun dulu. Ia merupakan sebahagian daripada rel kereta api yang menghubungkan Thailand ke Burma.

Dijoloki ‘Landasan Maut’, jambatan ini dikatakan antara salah sebuah tempat paling menyeramkan di Thailand. Ramai buruh yang terdiri daripada tawanan perang dikerah untuk bekerja dalam keadaan terseksa. Ramai mati akibat kemalangan, kebuluran, kesakitan dan pembunuhan.

4. Hotel Baiyoke Sky

Semasa pembinaan bangunan hotel tertinggi di Bangkok ini, berlaku sebuah kemalangan tragis yang meragut nyawa tiga pekerja buruh binaan. Roh mereka dikatakan menghantui hotel tersebut.

Beberapa orang tetamu dan staff hotel berkenaan melaporkan beberapa kejadian aneh seperti objek bergerak sendiri dan kelibat yang menyeramkan.

5. Kilang Kasut Bang Pu

Taman Industri Bang Pu ini merupakan nadi kepada industri pembuatan kulit di negara Thailand. Tapi terdapat sebuah kilang kasut yang tiada siapa berani menjejakkan kaki dalam bangunan itu sehingga kini.

Selepas terjadinya sebuah insiden yang mencedera dan membunuh beberapa pekerja, staf yang tinggal mula mengadu yang mereka ‘dikacau’. Ramai pekerja berhenti dan perniagaan mula jatuh. Akhirnya tauke kilang tersebut mengambil nyawanya sendiri dan menyertai roh-roh yang tidak tenteram di bangunan kilang tersebut.

6. Khao Lak

Khao Lak merupakan sebuah pantai yang cantik sebelum keindahannya diragut Tsunami pada tahun 2004. Dianggarkan sekurang-kurangnya 4,000 orang terkorban dalam peristiwa menyayat hati itu.

Kini banyak resort yang telah dibaiki pulih, dibina semula dan ramai orang Thai percaya bahawa pantai tersebut telah dihantui roh mangsa Tsunami dan ada aktiviti paranormal di hotel.

7. Gua Mae Usu

Gua Mae Usu ini terletak di Taman Negara Mae Moei dan menjadi tarikan pelancong peminat alam semula jadi.

Menurut cerita puak suku S’gaw yang mahir dengan selok-belok landskap taman negara itu, gua ini dipercayai merupakan kediaman Suea Saming, makhluk siluman berupa separuh harimau, separuh manusia.

Semasa bulan mengambang, ia akan keluar mengumpan manusia dengan alunan muzik tradisional Thai. Beberapa penduduk tempatan memberi amaran bahawa pemandangan semasa siang hari di Gua Mae Usu ini memang indah, namun bertukar bahaya apabila malam menjelma.

Di Malaysia juga terdapat beberapa lokasi yang menyeramkan. Ikuti kisahnya menerusi beberapa pautan artikel di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca