Pernah Diterbangkan Semasa Perang Dunia Kedua, Pesawat Ini Telah ‘Meragut’ 7 Nyawa

Sebuah pesawat Boeing B-17 yang pernah digunakan oleh tentera udara Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua terhempas di Connecticut, Amerika Syarikat.

Jennifer Homendy, ahli Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat, telah melaporkan menerusi sebuah sidang akhbar bahawa pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bradley pada pagi Rabu.

Walau bagaimanapun, lima minit kemudian, salah seorang anak kapal telah menghubungi menara kawalan trafik udara untuk melaporkan masalah dihadapi pesawat tersebut.

Pesawat Boeing B-17 yang pernah digunakan oleh tentera udara Amerika Syarikat untuk menentang Jerman dan Jepun dilaporkan terhempas di lapangan terbang tersebut ketika cuba mendarat sekitar 10 pagi waktu tempatan. Walaupun begitu, pesawat ini tidak lagi digunakan oleh tentera tetapi telah didaftarkan untuk kegunaan orang awam.

Sumber: New Haven Register

Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan enam orang lagi menerima rawatan atas kecederaan yang dialami. Pesawat tersebut membawa 13 penumpang termasuk tiga anak kapal.

Terdapat penumpang yang telah membuka pintu kecemasan dan membantu penumpang lain untuk keluar daripada pesawat tersebut. Selepas pesawat tersebut terhempas, lapangan terbang tersebut telah ditutup selama tiga jam setengah.

Menurut pihak berkuasa, penerbangan itu dikendalikan oleh Yayasan Collings. Yayasan ini ditubuhkan untuk pemuliharaan dan pameran kepada orang ramai berkaitan automotif dan sejarah berkaitan dengan industri penerbangan.

Pesawat vintaj itu merupakan salah satu daripada 18 pesawat B-17 yang masih beroperasi di Amerika Syarikat.

Artikel Lain Untuk Di Baca