7 Legenda Duyung Dari Seluruh Dunia

Pada zaman dahulu, para pelaut dari Barat gigih mencari jalan ke benua Asia. Dalam pelayaran itu, tiba-tiba mereka ternampak bayangan seorang perempuan yang sedang duduk dalam keadaan menggoda di atas batu besar di tengah laut.

Para kelasi pun apa lagi, mereka terus terjun ke dalam laut dan berenang ke arah ‘perempuan’ yang disangka duyung itu kerana mereka sudah terlalu lama berada di atas kapal dan tidak melihat perempuan.

Pensyarah saya, seorang kapten kapal pernah bercerita yang kebanyakan nama kapal zaman dulu diambil sempena nama perempuan misalnya USS Bella, Mary atau Cempaka sebab teringat pada bini di rumah.

Balik ke cerita tadi, alangkah terkejutnya lelaki-lelaki tersebut apabila mendapati duyung tersebut tidak secantik yang digambarkan dalam mitologi Yunani. Rupanya makhluk yang dilihat mereka dari kapal tadi adalah haiwan bernama dugong.

Begitulah serba sedikit cerita selingan daripada pensyarah saya bagi mengelakkan para pelajarnya tidur dalam kuliah. Saya kurang ingat apa yang diajar dan asyik blur dalam kelas sebaliknya cerita-cerita yang tak ada kaitan dengan pelajaran sering mengisi ruang dan melekat kuat dalam ingatan.

Mengikut catatan Christopher Columbus tahun 1493, dia dan anak-anak kapal lain turut pernah menyangka manatee (saudara dugong) sebagai duyung sewaktu berlayar mencari laluan perdagangan ke Asia sebelum terjumpa benua Amerika.

Duyung- wanita cantik berekor ikan ini tidak asing dalam budaya pelaut dan terkenal semasa zaman Greek Purba. Berdasarkan cerita rakyat, makhluk siren ini dikatakan tinggal di sebuah pulau dan menggoda pelaut dengan nyanyian merdu sebelum melemaskan mereka.

Selain popular di Eropah, negara-negara lain turut mempunyai versi kisah duyung yang tersendiri:

1. Mami Wata- Afrika

Mami Wata ini sebenarnya ‘semangat air’ dan turut digambarkan sebagai duyung. Selain itu, ia juga dikatakan pemukau ular. Kisahnya banyak terkandung dalam cerita-cerita rakyat Afrika terutama semasa zaman penjajahan orang putih dan penghambaan di sana.

Ia bukan manusia walaupun kadangkala menyerupai manusia. Makhluk ini dikaitkan dengan penyembuhan, kesuburan dan seksual

 2. Iara- Brazil

Turut digelar “Lady of the Waters”, Iara ini asalnya ular air. Kemudian ia berubah jadi seorang wanita abadi bermata hijau dan berkulit perang yang menggoda para pelaut untuk menjadi kekasihnya dan tinggal di istana bawah airnya.

Iara sering dipersalahkan sekiranya orang lelaki hilang di Amazon.

3. Lorelei- Jerman

Kisah Lorelei ini lebih sastera berbanding duyung-duyung lain dalam senarai ini.

Lorelei merupakan nama sebuah batu curam di tebing sungai Rhine, Jerman. Pada tahun 1801, seorang pengarang Jerman bernama Clemens Brentano telah menukang puisi inspirasi daripada batu tersebut, tentang seorang wanita bernama Lore Lay yang dituduh membunuh ramai lelaki setelah ditinggalkan kekasihnya.

Lore Lay dihukum oleh seorang paderi untuk menjadi biarawati. Dalam perjalanan ke situ, wanita itu panjat ke atas batu dan melihat bayangan kekasihnya sebelum terjatuh mati.

Beberapa dekad kemudian (tahun 1824), Heinrich Heine menulis sebuah sajak tentang Lorelei yang cantik sedang menyanyi sambil duduk bersimpuh di atas batu, menarik perhatian lelaki yang mengembara sepanjang sungai Rhine untuk membunuhnya.  

4. Russalka-Russia

Pari-pari air dalam mitos Slavic ini turut dikatakan sebagai duyung. Mereka keluar dari air setiap musim bunga.

Sisi gelap Rusalka adalah ia diceritakan jelmaan roh gadis-gadis mati dibunuh yang mengumpan orang lelaki dan kanak-kanak sebelum menjerut mangsa dengan rambutnya yang panjang.

5. Ningyo- Jepun

Jika di Barat sering menggambarkan duyung itu cantik, berbeza pula di Jepun apabila ia digambarkan sebagai ikan gergasi berwajah manusia, bermulut monyet dan siap ada taring.

Sesiapa yang makan Ningyo dipercayai akan muda dan cantik selamanya. Tetapi menangkapnya sama seperti menempah bala seperti ribut taufan dan nasib malang yang memusnahkan satu kampung.

6. Hai Ho Shang- China

Berbadan ikan besar dan berkepala botak, Hai Ho Shang gergasi dikatakan boleh mengheret seluruh bot-bot ke dalam air dan melemaskan orang-orang di dalam tu. Untuk menghalaunya, bulu-bulu harus dibakar di atas dek bot. Kalau tak jalan juga, individu tersebut kena menari.  

7. Scylla- Greek

Dalam mitos Yunani, Scylla ini merupakan seorang wanita berekor sotong yang gemar menyiksa pelaut.

Wataknya muncul dalam puisi epik The Odyssey di mana ia melahap mentah-mentah 6 lelaki dari kapal Odysseus dengan sesungutnya. Ganas tak ganas.

Selain itu, kisahnya turut diceritakan semula dalam Ulysses karya James Joyce.   

Baca lagi artikel berkaitan dengan Duyung menerusi pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca