7 Fakta Menarik Tentang Mendiang Lady Diana

Siapa tidak kenal dengan Lady Diana, wanita yang suatu ketika dahulu telah berkahwin dengan seorang kerabat diraja Britain, Prince Charles. Berita kematiannya pada 31 Ogos 1997 telah menggemparkan dunia.

Semua yang mengenali dirinya menangisi pemergian tragisnya pada usia muda 36 tahun. Kini setelah 21 tahun kematiannya, ramai yang masih mengingati beliau dan kerja-kerja amal yang pernah beliau lakukan semasa hayatnya.

Diana Frances Spencer yang dilahirkan pada 1 Julai 1961 diberi gelaran The Honorable Diana Frances Spencer disebabkan keluarga Spencer merupakan salah satu keluarga bangsawan di Britain.

Tidak lama sebelum hari lahirnya yang ke-14, beliau diberi gelaran Lady Diana Frances Spencer. Beliau lebih dikenali sebagai Lady Diana semasa tempoh pertunangannya dengan Prince Charles.

Selepas berkahwin, beliau diberi gelaran Her Royal Highness (HRH) Princess of Wales disebabkan suaminya memegang gelaran Prince of Wales yang hanya diberikan kepada pewaris takhta sahaja. Beliau juga mempunyai beberapa gelaran lain seperti Duchess of Cornwall dan Duchess of Rothesay tetapi beliau paling terkenal dengan gelaran Princess of Wales.

Selepas skandal yang menyebabkan keruntuhan rumah tangganya, gelaran HRH ditarik balik kerana beliau bukan lagi anggota keluarga diraja. Walau bagaimanapun, Queen Elizabeth ketika itu mahu Diana terus menggunakan gelaran yang telah diberikan kepadanya tetapi Prince Charles memaksa beliau untuk melepaskannya.

Kehilangan gelaran HRH pada namanya bererti beliau perlu tunduk hormat kepada anggota keluarga diraja yang lain termasuk dua orang anaknya sendiri iaitu Prince William dan Prince Harry.

Selepas perceraian beliau dengan Prince Charles, beliau dikenali sebagai Diana, Princess of Wales.

Walaupun bukan lagi anggota keluarga diraja Britain, beliau masih meneruskan kerja-kerja amalnya dengan badan-badan kebajikan yang berada di bawah naungan beliau semasa beliau masih berkahwin.

Ada beberapa fakta menarik tentang Diana yang mungkin tidak diketahui umum:

1. Beliau mengaku beliau bukan seorang yang cemerlang akademik. Beliau telah gagal kesemua ujian O Level yang diambilnya.

2. Beliau merupakan pengantin pertama dalam kalangan keluarga diraja Britain yang memilih cincin pertunangan daripada sebuah katalog jenama Garrard. Cincin 12-karat batu Sapphire yang dikelilingi berlian itu kini berada pada jari menantu sulungnya, Kate Middleton yang kini dikatakan bernilai $500,000 (RM2 juta) berbanding dengan nilai yang dibeli oleh Prince Charles ketika itu yang berharga $37,000 (RM150,000).

3. Gaun perkahwinannya merupakan gaun yang terpanjang dalam sejarah perkahwinan keluarga diraja. Beliau mengambil masa 5 bulan untuk belajar berjalan sambil memakai gaun dengan train 25 kaki panjangnya!

4. Beliau bercita-cita untuk menjadi seorang Ballerina. Tetapi cita-cita beliau tidak tercapai kerana beliau dikatakan terlalu tinggi.

5. Prince Charles pernah bercinta dengan kakak beliau. Diana hanya berumur 16 tahun ketika kali pertama berjumpa dengan Prince Charles yang ketika itu datang ke rumah sebagai teman lelaki kakaknya.

6. Gambar beliau bersalaman dengan pesakit HIV tanpa memakai sarung tangan pada April 1987 membantu menghantar mesej untuk memberi didikan kepada orang awam tentang penyakit itu.

7. Selepas kematiannya, mayat beliau ditanam di tanah milik keluarganya, Althorp Park di Northamptonshire, England.

Penulis

  • Farah Shahira Binti Norazman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca