6 Tempat Berhantu Yang Wajib Berada Dalam ‘Bucket List’ Penggemar Kisah Mistik

Kisah seram dan mistik bukanlah sesuatu yang baharu terutamanya di laman media sosial seperti Twitter dan Facebook. Kami kongsikan enam lokasi berhantu yang perlu anda lawati:

1. Istana Kellie di Perak

Istana yang terletak di Batu Gajah, Perak ini dibina oleh seorang peladang yang berasal dari Scotland iaitu William Kellie Smith pada 1905.

Mengambil inspirasi daripada istana Moghul di Agra, India, pembinaan bangunan ini sering tergendala kerana menghadapi pelbagai masalah.

Pembinaan bangunan ini diberhentikan sepenuhnya pada tahun 1926 selepas William meninggal dunia dan isterinya bertindak untuk menjual semua aset mereka.

Terdapat pelbagai kisah seram yang diceritakan oleh penduduk di kawasan sekitar seperti kelibat roh William yang berkeliaran untuk menjaga istana tersebut.

Tidak berhenti di situ, bilik anak perempuan William iaitu Helen turut mempunyai kisahnya tersendiri. Dikatakan bahawa pengunjung istana itu kerap melihat kelibat seorang remaja perempuan merayau di sekitar bilik tersebut.

2. Highland Tower di Selangor

Kondominium yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang ini dibina pada tahun 1974 dan mempunyai 12 tingkat.

Walau bagaimanapun, ia runtuh pada 11 Disember 1993 dan tragedi berdarah itu telah meragut 48 nyawa dalam masa tidak sampai lima minit. Hanya tiga orang sahaja yang terselamat termasuk seorang bayi perempuan.

Selepas insiden tersebut, semua blok di kondominium itu telah dikosongkan atas faktor keselamatan tetapi pelbagai kisah mistik mengenai bangunan itu masih menjadi bualan ramai sehingga hari ini.

3. Penjara Pudu di Kuala Lumpur

Penjara yang dibina pada tahun 1891 ini ditutup sepenuhnya pada tahun 1996 dan semua banduan telah dipindahkan ke penjara Sungai Buloh.

Walau bagaimanapun, penjara itu dirobohkan selepas 121 tahun pada tahun 2012. Salah satu kisah seram di penjara tersebut adalah sebuah lukisan misteri yang dilukis oleh seorang banduan akhir.

Dia telah melukis potret dirinya sendiri di dalam selnya sebelum dia dihukum gantung. Warden yang pernah bertugas di situ berkata lampu di sel itu sentiasa terpadam dan ia selalu berada dalam keadaan gelap.

Walaupun begitu, potret itu akan sentiasa bercahaya dalam keadaan gelap seolah-olah ianya masih hidup. Tidak berhenti di situ, ada yang mendakwa potret itu akan mengeluarkan air mata pada hari penggantungan banduan akhir.

4. Hospital Sakit Jiwa Gonjiam di Korea Selatan

Semua yang berlaku di dalam filem Gonjiam: Haunted Asylum merupakan kisah benar? Ramai yang menganggap filem itu kisah rekaan semata-mata tetapi ia merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada kisah benar!

Pernah menjadi sebuah hospital sakit jiwa di Gwangju, hospital ini ditutup tanpa notis pada tahun 1996 kerana keadaan doktor yang membahayakan dan ramai pesakit yang ditempatkan di situ telah mati dibunuh.

Orang ramai berkata bahawa roh mangsa masih terperangkap dan menyebabkan banyak kejadian paranormal yang berlaku di hospital itu.

Ramai mendakwa keadaan di dalam hospital itu seperti ia masih berpenghuni kerana kelengkapan seperti katil dan peralatan perubatan masih berada di dalam wad-wad tersebut.

5. Tat Tak School di Hong Kong

Sekolah ini dibina pada tahun 1931 sebelum ia dipindahkan ke sebuah tapak yang baharu pada 1974. Bangunan itu beroperasi selama 24 tahun sebelum ia ditutup secara rasmi pada tahun 1998.

Sebuah kisah yang berlaku di situ sehingga ia menjadi tempat paling berhantu di Asia ialah kelibat hantu berbaju merah yang berkeliaran di sekitar sekolah.

Terdapat dakwaan bahawa makhluk halus itu merupakan seorang guru yang meninggal dunia selepas menggantungkan diri di tandas sekolah tersebut.

Selain itu, tapak sekolah berkenaan dibina di atas kubur pejuang Hong Kong yang melawan tentera Jepun dan roh itu masih berkeliaran di situ.

6. Pulau Boneka di Mexico

Pada pandangan pertama, pulau itu hanya mempunyai pokok-pokok di sekitarnya tanpa seorang penghuni. Walaupun begitu, tumbuhan itu dihiasi oleh boneka yang menyeramkan.

Setiap boneka mempunyai sejarah tersendiri. Sumber mengatakan bahawa pulau itu pernah didiami oleh seorang lelaki iaitu Don Julian Santana. Namun, lelaki itu diusir oleh keluarganya dan ditinggalkan di pulau tersebut.

Walaupun begitu, Don dikhabarkan sering diganggu oleh seorang gadis misteri yang dipercayai mati lemas di pulau tersebut. Dengan menggantungkan boneka di dahan pokok, Don percaya bahawa ia boleh mengurangkan gangguan gadis misteri berkenaan.

Sekiranya anda merupakan seorang yang berani, anda boleh melawat enam destinasi tersebut! Untuk mereka yang mahu melancong ke luar negara, anda boleh lihat senarai ini yang mengandungi lima tempat paling seram di dunia.

Penulis

  • Nur Fahda Abu Khnipah adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Artikel Lain Untuk Di Baca