Adakah Anda Seorang Yang Berani? Ini 6 Sukan Lasak Yang Anda Patut Cuba

Sukan lasak bukanlah sesuatu yang baharu tetapi ia perlu diperbaharui supaya lebih ramai individu terutamanya golongan muda pada hari ini mahu memberi minat terhadap aktiviti sebegini. Berikut kami kongsikan enam sukan lasak yang digemari oleh orang ramai:

1. Water rafting

Water rafting merupakan sebuah aktiviti di mana para peserta akan menaiki bot beramai-ramai dalam sebatang air sungai yang deras.

Semua peserta akan diberi jaket keselamatan semasa menaiki bot. Kebiasaannya, terdapat seseorang yang sudah mempunyai kepakaran dalam sukan berkenaan akan berada bersama-sama dengan para peserta semasa mereka menaiki bot tersebut.

Gua Tempurung, Sungai Sedim yang terletak di Kulim dan Sungai Kuala Kubu Bharu merupakan contoh lokasi ‘water rafting’ yang terkenal di Malaysia.

Walaupun sukan berkenaan agak mencabar tetapi ianya merupakan sebuah aktiviti yang sangat menyeronokkan. Cuba anda bayangkan, air sungai yang tenang pada mulanya tetapi bot getah akan mula terumbang-ambing sebaik sahaja anda tiba di lokasi air yang mengalir deras.

Semua yang berada di dalam bot tersebut pada ketika itu akan mula dibasahi air dan terdapat individu yang akan menjerit dalam situasi berkenaan tetapi mereka tetap akan mengharungi apa sahaja cabaran di dalam bot itu bersama pasukan masing-masing.

2. Paragliding

Aktiviti ini memberi peluang untuk mereka yang hendak menikmati pemandangan indah semula jadi dari langit.

Untuk paragliding, para peserta perlu berlepas dari tempat yang tinggi seperti puncak bukit. Daripada situ, mereka boleh serahkan yang lain kepada jurulatih kerana dia akan mengambil alih untuk mengawal payung terjun yang dinaiki oleh para peserta.

Disebabkan itu, mereka yang menaiki payung terjun itu boleh menikmati pemandangan tersebut dengan hati yang tenang.

3. Hiking

Hiking disukai oleh orang ramai kerana bukan sahaja aktiviti ini mencabar tetapi ianya sangat menakjubkan apabila mereka dapat menawan satu bukit atau satu gunung dengan mendaki sehingga ke puncaknya.

Sukan ini memerlukan seorang yang teliti dan tidak mudah mengalah kerana untuk sampai ke puncaknya, mereka perlu mempunyai stamina yang kuat dan kesungguhan yang jitu.

Aktiviti ini menjadi lebih menarik apabila seseorang mendaki ke puncak bukit pada awal pagi sekitar lima pagi dan sampai ke puncak bukit pada tujuh pagi kerana mereka boleh menikmati panorama yang sangat indah iaitu pemandangan matahari terbit.

4. Kayak

Aktiviti ini mungkin kelihatan mudah tetapi ia sebenarnya agak mencabar kerana sukan ini memerlukan dua orang yang boleh mengekalkan kayuhan tersebut.

Selain itu, mereka perlu memastikan kayuhan mereka sekata tetapi aktiviti ini memang seronok kerana mereka boleh merasai pengalaman ‘berjalan-jalan di atas air’ sambil menikmati pemandangan sekeliling.

Aktiviti terbabit mampu menghilangkan tekanan. Pada masa yang sama, ia turut melatih seseorang itu untuk bekerjasama dengan individu lain dan tidak mementingkan diri sendiri.

5. Aktiviti masuk gua/caving

Apa yang menarik tentang aktiviti ini ialah kita boleh mengetahui keadaan di dalam gua dan bentuk-bentuk di dalam gua.

Antara cabaran yang perlu ditempuhi untuk memasuki gua tersebut ialah mereka terpaksa merangkak di dalam air, terpaksa merangkak untuk melalui lubang yang sempit dan bermacam-macam lagi.

Gua Tempurung di Perak merupakan lokasi terkenal untuk melakukan aktiviti tersebut.

6. Abseiling air terjun

Aktiviti ini dilakukan di sekitar tebing tinggi air terjun. Para peserta akan memakai alat keselamatan dan seterusnya akan mula memanjat turun kawasan tebing air terjun dari atas.

Antara lokasi yang menarik untuk melakukan aktiviti ini ialah di Air Terjun Sungai Pisang yang terletak di Gombak dan Air Terjun Ulu Geruntum yang terletak di Gopeng, Perak.

Walaupun ianya merupakan sebuah sukan lasak tetapi ia mempunyai banyak kebaikannya. Aktiviti terbabit dilakukan di kawasan air terjun yang boleh memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja dan boleh menyegarkan minda kita.

Kesimpulannya, golongan muda seharusnya lebih aktif dengan melakukan aktiviti yang boleh mencabar diri mereka dan bukannya hanya leka dengan alatan elektronik dan media sosial yang boleh menghanyutkan diri mereka.

Menteri Belia dan Sukan ada mengatakan bahawa orang yang suka bersukan ialah orang yang bijak terutamanya mereka yang menceburi sukan lasak kerana ianya boleh melatih seseorang daripada pelbagai aspek.

Pada pendapat anda, sukan lasak manakah yang paling menarik perhatian anda?

Penulis

  • Sunartee Saimi merupakan pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri Fakulti Filem, Teater dan Animasi

Artikel Lain Untuk Di Baca