Salah satu perkara terbaik dalam hidup ini adalah mencipta memori. Kemudian memori tersebut disimpan dalam kad memori 32GB kamera.

Adakah anda amat meminati dunia lensa dan suka tangkap gambar dari sebiji epal, pemandangan sehinggalah potret? Jangan simpan sendiri minat tersebut kerana mungkin ini lebih dari sekadar hobi dan ada yang sanggup membayar skil fotografi anda.

Berikut kami senaraikan enam jenis karier jurugambar yang bukan sahaja boleh membayar bil-bil sambil buat perkara yang anda suka tetapi juga melampiaskan kreativiti anda:

1. Jurugambar Makanan

Mengambil gambar makanan ini tidaklah senang seperti melihat atau memakannya. Ia memerlukan teknik seperti lighting, komposisi, angle yang teliti untuk menghasilkan foto makanan yang bagus dan nampak lazat. Kini, restoran dan tempat makan yang semakin bertambah turut menambahkan peluang anda dalam bidang ini. Hasil tangkapan foto tersebut akan dimanfaatkan untuk media promosi makanan, website, dan majalah kulinari.

Selain pengetahuan anda tentang makanan bertambah, anda juga mungkin berkesempatan untuk mencubanya secara percuma. Sesuai sangat jika hobi anda adalah mengambil gambar dan makan.

2. Wartawan Foto

Dunia kewartawanan dengan foto memang berpisah tiada. Namun kerjaya wartawan foto ini tidak mudah dan menuntut semangat juang yang tinggi misalnya ditugaskan ke tempat pergolakan politik, perang dan jenayah bagi meliputi kejadian dan membuat berita untuk penerbitan cetak atau elektronik.

Jurufoto harus mengambil gambar yang tepat kerana foto merupakan bahagian yang terpenting dalam pembuatan berita dan menentukan apa isi cerita di sebalik itu. Sekeping gambar bercerita 1000 patah perkataan. Jika anda seorang jurugambar yang berhati kering, lasak lagi passionate, anda mungkin insan terpilih bagi mendukung kerjaya ini.

3. Jurugambar Fesyen

Selain model, pereka fesyen dan jurugaya, jurugambar turut memainkan peranan penting dalam industri yang glamor ini. Tanpa jurugambar yang berkaliber dan profesional, tidak menjadi la konsep gambar peragaan yang diinginkan. Kerja ini juga perlu melibatkan banyak kerjasama pasukan.

Fotografi fesyen ini memaparkan rangkaian pakaian, aksesori dan pelbagai lagi produk komersial. Fotografi ini biasanya untuk pengiklanan dan kegunaan majalah fesyen atau majalah hiburan. Lokasi penggambaran pula boleh dilakukan di studio atau kawasan luar seperti pantai, gunung, hutan, sawah padi malah padang pasir sebagai latar.

Seorang anak Malaysia iaitu Latiff Napoleon yang kini menetap di London telah melebarkan sayap kariernya ke luar negara sebagai jurugambar majalah fesyen antarabangsa. Boleh ikuti perkongsian beliau bersama The Star di sini.

4. Jurugambar Hidupan Liar Dan Bawah Air

Penulis teringat perkongsian menarik seorang ahli panel forum yang begitu meminati fotografi hidupan liar. Panel tersebut keluar masuk hutan mengikuti sebuah badan NGO alam sekitar bagi memasang kamera perangkap bagi mengawasi hidupan liar dalam hutan.

Ceritanya, ramai yang jadi sado setelah mengangkat peralatan kamera yang berat tersebut. Dengan menggunakan kamera DSLR kesayangannya, lelaki ini turut menangkap foto tapak kaki harimau dan pelbagai lagi binatang liar yang kita mungkin lari tak cukup tanah jika terserempak dengannya.

Ketika menuntut di Universiti dulu, penulis turut terdengar cerita ada seorang senior jurusan biologi marin yang hobinya adalah menyelam skuba. Sambil menyelam, dia minum air secara literal dengan cara mengambil gambar haiwan-haiwan laut yang ditemui kerana dia turut passionate dengan fotografi.

Dia belajar sendiri dan pergi bengkel-bengkel fotografi. Lalu hasil tangkapan gambar haiwan-haiwan tersebut dihantar kepada para saintis dalam dan luar negara bagi mengenal pasti spesies haiwan-haiwan tersebut. Jasa dan namanya turut mendapat penghormatan dan disanjung tinggi dalam bidang tersebut. Penulis hanya ingat cerita tapi lupa apa nama senior tersebut.

5. Jurugambar Potret, Perkahwinan dan Event.

Berdasarkan pemerhatian, kerjaya wedding photographer ini semakin popular pada masa kini. Permintaannya tidak pernah sunyi kerana ramai yang kahwin terutama ketika musim cuti persekolahan dan perkahwinan ini merupakan antara momen penting dalam sejarah hidup setiap insan. Bayaran dan hasil pendapatannya juga bukan biasa-biasa.

Selain majlis perkahwinan, photographer juga diperlukan bagi merakam event penting yang lain seperti majlis konvokesyen, majlis bersara, anniversary dan sesuatu karnival.

6. Jurugambar Travel

Suka jalan-jalan sambil menangkap gambar? Foto-foto menarik hasil tangkapan anda bukan saja menarik tatapan ramai tetapi turut mempromosi tempat pelancongan tersebut. Skil fotografi kembara ini boleh dimanfatatkan dalam kerjaya  seperti syarikat majalah berfokuskan kembara dan percutian, pemandu pelancong dan blogger.

Jurugambar dan pemilik blog Pojiegraphy yang bernama Mohd Shahril Fawzy Suhaili ini, telah membuktikan bahawa fotografi itu bukan sekadar memegang kamera dan menekan butang shutter tetapi juga boleh membawanya meneropong dunia yang luas ini. Boleh ikuti perkongsian pengalaman beliau di sini.

Bagaimana? Adakah anda tertarik untuk menceburi salah satu karier di atas?

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

Idntimes