Segelintir masyarakat kita masih lagi tidak percaya akan kewujudan makhluk halus dan menganggap perkara ini adalah karut semata-mata. Kewujudan mahkluk halus tidak seharusnya dipertikaikan kerana mereka benar-benar wujud. Terdapat beberapa tempat di Malaysia yang sering dikaitkan dengan makhluk halus.
1. Highland Towers
Highland Towers merupakan satu nama yang tidak asing lagi bagi penduduk di Malaysia. Tragedi ini adalah tragedi runtuhan pertama dan terburuk di Malaysia di mana ia runtuh menyembah bumi dan mengorbankan kira-kira 48 nyawa.
Selepas kejadian itu, Highland Towers langsung tidak berpenghuni sehingga kini dan telah meninggalkan banyak kisah-kisah seram, mistik, dan aneh. Antaranya, kedengaran suara wanita menangis di tengah kepekatan malam dan sering juga kelihatan kelibat makhluk tanpa kepala. Kisah seram mengenai Highland Towers ini turut difilemkan di Malaysia.
2. Lebuhraya Karak
Lebuhraya Karak yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Karak ini mula dibina pada tahun 1970 dan mula dibuka kepada orang ramai 7 tahun kemudian. Lebuhraya ini dikatakan berhantu apabila terdapat pelbagai kisah misteri dan seram yang berlaku di sini.
Antara kisah seram yang paling popular mengenai lebuh raya ini adalah kisah Volkswagen kuning. Kisah ini berlaku selepas tamatnya terowong Karak di mana Volkswagen kuning tersebut dikhabarkan akan memotong kereta anda dan seterusnya dipandu dengan perlahan tanpa pemandu di dalamnya.
Terdapat cerita di sebalik kisah seram ini. Puncanya dipercayai bermula dari sebuah kisah di mana seorang suami telah dibunuh dengan kejam sekali oleh isterinya yang curang. Si isteri ini kemudiannya merampas kereta Volkswagen kuning milik suaminya itu.
Sang suami dipercayai mati sambil menyimpan rasa dendam yang membara untuk memiliki semula Volkswagen kuning itu. Jika benar hantu Volkswagen kuning ini betul-betul wujud, maka itu adalah jin (keturunan iblis yang bergelar jembalang), bukan si suami malang yang mati dibunuh kejam.
3. Amber Court Genting Highland
Amber Court merupakan dua bangunan berkembar yang terletak di pinggir Genting Highland. Pangsapuri ini dikatakan berhantu kerana ia merupakan sebuah lokasi yang sering berlakunya kes bunuh diri bagi mereka yang kalah judi di sana.
Antara kisah seram yang dikaitkan dengan tempat ini adalah penginap di sana pernah menemui satu lembaga tanpa kepala sedang mendukung anak di dalam lif. Bukan itu sahaja, ada yang menceritakan bahawa televisyen juga pernah terpasang dengan sendiri.
4. Institut St. Michael, Ipoh
Sekolah ini telah digunakan oleh tentera Jepun sebagai ibu pejabat mereka pada zaman perang dunia kedua dahulu. Pada ketika itu, aktiviti penyeksaan terhadap tawanan perang telah dijalankan di sekolah ini oleh tentera Jepun. Terdapat banyak terowong yang dibina untuk tujuan penyeksaan dan penyimpanan makanan.
Gereja kecil yang terletak di sekolah ini dikatakan sebagai kawasan yang paling berhantu di mana kelihatan seorang mubaligh Kristian berjubah hitam tanpa kepala sering duduk berdoa menghadap pintu pada waktu pagi.
5. Victoria Institution, Kuala Lumpur
Ramai askar British yang diseksa dan dibunuh di sekolah ini semasa pendudukan Jepun suatu masa dahulu. Banyak kejadian kerasukan yang berlaku di sini di mana para pelajar akan berkelakuan pelik dan ganas secara tiba-tiba sehingga boleh mencederakan orang di sekelilingnya. Kisah ini sering dikaitkan dengan banyak roh yang berkeliaran di kawasan tersebut.
6. Taman Tema Mimaland, Gombak
Taman rekreasi ini terkenal pada era 1980-an dahulu. Nama Mimaland yang agak unik itu sebenarnya adalah singkatan daripada gabungan perkataan Malaysia In Miniature Land. Setelah bertahun-tahun lamanya Mimaland menceriakan hidup orang ramai, sesuatu yang tidak diingini telah berlaku. Satu kemalangan yang meragut nyawa seorang warganegara Singapura telah berlaku di kawasan papan luncur pada Januari 1993.
Hal ini telah mengejutkan orang ramai sehingga memaksa pihak Mimaland menutup kawasan yang terlibat iaitu kolam renang dan papan luncurnya untuk sementara waktu bagi kerja-kerja penambahbaikan. Pada Mei 1994, dinding kolam renang yang sama mengalami kerosakan akibat kejadian tanah runtuh. Sekali lagi, kawasan tersebut terpaksa ditutup.
Kini, Taman Tema Mimaland terbiar begitu sahaja dan terdapat banyak kisah seram yang berlaku di sini. Antaranya, suara menyeramkan sering kedengaran terutamanya apabila senja menjelma. Kelibat manusia tanpa kepala juga kelihatan di kawasan tersebut.
Setiap tempat pastinya menyimpan seribu satu sejarah. Jadi, pernahkah anda semua alami apa-apa gangguan di tempat-tempat yang disenaraikan di atas?