Polis menahan enam lelaki termasuk dua orang warga Myanmar serta merampas 104 kilogram (kg) daun ketum dan 258 bungkus air ketum dalam lima serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Utara (SPU), pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata enam lelaki berusia 19 hingga 67 tahun itu ditahan secara berasingan bermula pukul 5 petang hingga 9 malam Selasa.
“Dalam serbuan itu polis berjaya merampas sejumlah dadah jenis ganja, air ketum, daun ketum dan peralatan memproses air ketum dengan nilai rampasan berjumlah RM3,500 yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Dadah dan ketum yang dirampas boleh digunakan sehingga 900 orang penyalahguna daun ketum,” katanya pada sidang media, semalam.
Malah, beliau berkata dalam serbuah pertama di Jeti Nelayan Bagan Ajam, Butterworth, polis telah menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang merupakan penjual air ketum dengan rampasan 78 bungkus air ketum.
Beliau berkata, ” Dalam serbuan kedua di sebuah rumah tidak bernombor di tepi jalan Bagan Dalam, Butterworth, polis berjaya memberkas dua lelaki warga Myanmar berumur 24 dan 27 tahun sedang leka dalam kegiatan menjual air ketum kepada pelanggan dengan rampasan sebanyak 120 bungkus air ketum.”
Manakala serbuan keempat dan kelima di Tasik Gelugor melibatkan penahanan dua lelaki berusia 42 dan 67 tahun. Dalam dua serbuan itu polis telah berjaya merampas 3.3 gram ganja, 76 kilogram (kg) daun ketum, 60 bungkus air ketumdan 50 liter air ketum.
Siasatan awal mendapati kesemua bekalan daun ketum itu diperoleh dari Kedah dan Perlis sebelum mereka memprosesnya menjadikan air ketum dan menjual sekitar Butterworth.

Menurutnya, aktiviti penjualan air ketum adalah untuk pelanggan tempatan serta warga Myanmar dan dipercayai kegiatan ini dijalankan sejak tahun yang lalu.
“Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 8 Februari ini bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Untuk baca artikel yang berkaitan daun ketum, sila klik pauta dibawah: