Tahukah anda beberapa kes penderaan majikan terhadap pembantu rumah yang pernah berlaku di negara kita? Adakah perkara ini berlaku disebabkan desakan hidup yang dihadapi oleh majikan yang terlalu tinggi sehingga hilang sifat kemanusiaan atau mereka gembira melihat individu lain terseksa?
Namun, kisah yang menyayat hati ini mengingatkan kita kembali akan beberapa kes penderaan yang pernah berlaku kepada pembantu rumah warga Indonesia yang ada di antaranya telah didera, dirogol dan diperlakukan seperti binatang oleh majikan yang tidak berhati perut.
Berikut kami senaraikan 6 kisah penderaan amat kejam yang pernah mengejutkan negara Malaysia satu masa dahulu:
1. Nirmala Bonat (2004)
Kisah tragis melibatkan penderaan ke atas pembantu rumah Indonesia bernama Nirmala Bonat ini bermula pada tahun 2004 selepas dua orang majikannya, iaitu Yim Pek Ha dan suaminya Hii Ik Ting didapati bersalah mendera pembantu rumah mereka sehingga mengakibatkan banyak kecederaan pada tubuh beliau.
Mangsa yang bekerja sebagai pembantu di rumah majikannya dekat Kondominium Villa Putera, Jalan Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur itu telah ditekap kedua-dua belah payudaranya dengan seterika yang panas. Selain di payudara, Nirmala juga telah dilecurkan di bahagian belakang badan dan kerap diketuk dengan cawan besi di dahi. Sepanjang bekerja dengan Yim Pek Ha, mangsa bukan sahaja mengalami penderaan fizikal namun emosinya juga trauma dan terganggu.
2. Siti Hajar Sadli (2009)
Siti Hajar telah melalui penderitaan yang teruk akibat daripada penderaan yang telah dilakukan oleh majikannya. Dengan menggunakan peralatan tukul, pisau, parang, gunting dan kerusi, Siti menceritakan kembali beliau sering kali didera dalam tempoh Februari hingga Jun 2009. Hidungnya retak dan ada kesan ketukan dengan tukul, serta lehernya ada kesan torehan menggunakan pisau. Selain itu, Siti Hajar juga dicurah dengan air panas.
Ketika mangsa diselamatkan, wajahnya penuh dengan kesan lecur, berkudis, bernanah dan penuh dengan luka akibat disimbah dengan air panas oleh majikannya yang bernama Hau Yuan Tyng. Lebih menyedihkan wanita ini yang beragama Islam telah diberi makan daging babi bersama nasi kosong.
3. Mey Sichan (2012)
Mey Sichan yang berasal daripada Kemboja, dijumpai mati di rumah kedai milik majikan beliau pada tahun 2012. Semasa dijumpai, Mey Sichan yang berumur 24 tahun semasa meninggal dunia turut mempunyai berat badan 26kg sahaja.
Majikan beliau, pasangan Soh Chew Tong dan isterinya Chin Chui Ling pada mulanya dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun sebelum ditukar kepada hukuman gantung pada 2015. Rayuan yang dibuat berjaya menukarkan hukuman mereka kepada penjara 10 tahun.
4. Suyanti Sutrinso (2016)
Kes yang berlaku pada tahun 2016 ini melibatkan seorang pekerja pembantu rumah Indonesia bernama Suyanti Sutrisno yang didera oleh majikannya, iaitu seorang wanita yang bergelar Datin Rozita Mohamad Ali dengan menggunakan peralatan seperti pisau, mop, penyangkut baju dan payung.
Dia yang nekad melarikan diri selepas didera majikannya yang berpangkat datin telah ditemui seorang pengawal keselamatan selepas rebah di dalam longkang dalam keadaan yang menyedihkan. Suyanti telah mengalami kecederaan teruk di muka, telinga, leher dan belakang tubuhnya dipenuhi dengan darah.
5. Mantik Hani (2008)
Semasa Mantik Hani, 36, diselamatkan, mangsa sudah hampir nyawa-nyawa ikan. Dia telah ditemui dikurung di dalam tandas dalam keadaan kepalanya dibotakkan dan seluruh tubuhnya penuh dengan kesan tumbukan serta tendangan majikannya yang bernama Murgan.
Walau bagaimanapun, nyawa Mantik tidak panjang. Dia yang telah mendapat rawatan di hospital selama sehari akibat kesan dipukul dengan objek keras telah meninggal dunia. Kejadian yang berlaku sekitar tahun 2008 di Taman Sentosa, Klang ini telah mendapat liputan hangat media selepas Murgan, seorang penjual tebu telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati
6. Sulasti (2010)
Mangsa yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan baru berusia 21 tahun telah ditemui dalam keadaan cedera parah dan tidak mampu berjalan kerana tidak diberikan makan selama beberapa hari. Sulasti juga didapati telah mengalami kecederaan yang agak serius di bahagian kepala dan wajahnya melecur teruk.
Bahagian tubuhnya pula terdapat kesan-kesan luka yang dipercayai akibat dipukul dengan benda tumpul dan dilecurkan. Semasa polis menemuinya, mulutnya dalam keadaan berdarah dan Sulasti mengakui dia telah dipukul majikan dengan tangan, kaki, kayu, rotan dan besi.
Namun, melalui kes penderaan terhadap pembantu rumah ini, banyak pihak menyalahkan undang-undang yang longgar yang memang diakui untuk memudahkan proses kemasukan pekerja asing ke negara kita, tetapi persoalan yang lebih penting sebenarnya, mengapakah perkara ini berlaku dan mana sifat kemanusiaan yang perlu ada dalam diri kita?
Sumber: Berita Benar, Kini News, Mstar, Utusan Online