Setiap kali menerima isyarat ancaman, haiwan dengan pantas menyesuaikan diri dengan persekitaran untuk mengelakkan bahaya daripada pemangsa. Namun, dalam 50 juta spesis haiwan di dunia ini, tidak banyak haiwan yang mempunyai kebolehan unik ‘bergabung’ dengan alam sekitar.
Hari ini, kami kongsikan 6 haiwan yang sangat mengagumkan dan ada di antaranya lebih hebat daripada apa yang kita jangkakan.
1. Sotong Kurita Mimik Indonesia
Sotong kurita mimik Indonesia ditemui pada tahun 1988 oleh sekumpulan saintis di Sulawesi. Menurut kajian tersebut, tidak ada haiwan lain di atas muka bumi yang boleh menyamai kebolehan penyamaran seperti sotong hebat ini. Ia mampu menukar warna kulit dan tekstur badan untuk berasimilasi dengan persekitaran secara serta-merta.
Sotong kurita ini sebenarnya bijak menghalau pemangsanya dengan mengubah diri supaya tidak menyerupai dirinya sendiri. Jika kebanyakan haiwan lain hanya mampu mengubah warna kulit, namun, bagi sotong ini jauh lebih mengagumkan kerana berupaya mengubah bentuk badannya juga untuk menipu pemangsa.
2. Kuda Laut Pygmy
Kuda laut pygmy yang bersaiz sekitar 2cm ini adalah salah satu penyamaran yang sangat hebat. Spesies ini hanya mula dijumpai sejak tahun 1969 disebabkan keupayaannya menggabungkan diri dengan persekitaran. Sehingga kini, hanya terdapat enam lokasi di mana kuda laut ini boleh dijumpai iaitu di perairan tropika Asia Tenggara.
Ia gemar berselindung di antara terumbu karang dan menyamar dengan menghasilkan benjolan pada badannya. Kapsul-kapsul berbentuk tiub pada kulit dan tubuh kuda laut ini benar-benar menyerupai batu karang sehingga ia sukar dilihat oleh para penyelam.
3. Cicak Iblis Berekor Daun
Satanic leaf-tailed gecko atau cicak iblis adalah haiwan yang sangat menyerupai daun kering. Pada tahun 1880, ahli alamiah dari Belgium iaitu George Albert Boulenger mengatakan kewujudan haiwan ini adalah sebuah mitos. Namun, ia akhirnya diiktiraf dan diberikan nama sekitar 1990-an oleh Bill Love dari Glades Herp. Inc.
Spesies cicak yang hanya boleh didapati di Madagascar ini kurang dikenali berbanding dengan keluarga cicak yang lain. Cicak ini berukuran antara 2.5 hingga 6 inci panjang, teknik penyamaran yang digunakan adalah agak luar biasa kerana anda tidak akan dapat membezakan antara cicak ini dengan dedaunan kering menggunakan mata kasar.
4. Beluncas Baron
Ulat bulu yang berasal dari India dan Asia Tenggara ini dianggap sebagai serangga yang boleh melakukan penjelmaan bentuk yang terhebat di dalam dunia. Semasa masih dalam peringkat larva, amat sukar untuk mengetahui kehadirannya kerana teknik penyamaran yang sangat ekstrem.
Tubuh ulat ini menyerupai urat daun dan ia berwarna hijau pada peringkat larva serta amat mudah bersembunyi di atas daun pokok mangga dan sebagainya. Apabila matang, ia akan menjadi rama-rama cantik berwarna coklat atau hijau. Menarik bukan?
5. Labah-Labah Ketam Berbonjol
Knobbly crab spider dianggap sebagai spesies yang agak pemalu dan kebanyakannya hanya ditemui di Queensland, Australia. Seperti namanya, labah-labah ini mempunyai kulit yang tidak sekata dan berbonjol-bonjol. Ia biasanya berselindung di bawah kulit pokok dan kayu untuk menyerang mangsa.
Kebiasaannya labah-labah ini agak mustahil untuk dilihat dengan mata kasar kerana ia berwarna coklat dan ditambah pula dengan saiznya yang hanya berukuran antara 8mm hingga 10mm. Ia bergerak dengan sangat perlahan. Ketika ia berehat di atas daun, ia akan melipat bahagian hujung daun untuk menyembunyikan diri daripada pemangsa.
6. Rama-Rama Daun Mati
Rama-rama ini sentiasa kelihatan mengagumkan dengan sayap penyamaran yang hebat. Ia sering ditemui di kawasan tropika sekitar Asia, terutama sekali di India dan Jepun. Bahagian lapisan luar sayapnya menyerupai daun yang kering dan ia berwarna coklat.
Setiap perincian pada sayap rama-rama ini, ia sangat menyerupai daun kering, termasuklah bahagian tepi yang melengkung, lipatan dan urat daun. Malah, ia juga mempunyai ‘lubang minit’ yang serupa dengan daun layu. Penyamarannya adalah bermusim, ia bergantung kepada keadaan persekitaran yang kering atau basah.
Mana satu antara binatang di atas yang pernah anda temui?
Sumber: Tribuntravel.com dan Kaskus