6 Filem Korea Berdasarkan Kisah Benar Yang Patut Anda Tonton

Adakah citarasa anda lebih kepada sesuatu yang berdasarkan kisah benar? Walaupun terdapat sedikit pengubahan dalam jalan cerita untuk membuatkannya lebih menarik, kami kongsikan enam filem yang wajib anda tonton:

1. Hope (2013)

Dibintangi oleh Sol Kyung-gu dan Uhm Ji-won, Hope mengisahkan bagaimana seorang lelaki berusia 57 tahun telah memukul dan merogol seorang kanak-kanak perempuan yang berusia lapan tahun iaitu Nayoung dalam keadaan mabuk di tandas awam.

Hope diadaptasi daripada kes Nayoung yang berlaku pada tahun 2008 tetapi apa yang lebih mengejutkan dan mengundang kemarahan orang ramai ialah mahkamah hanya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas suspek!

2. 71 : Into the Fire (2010)

Dibintangi oleh Kwon Sang-woo dan ahli kumpulan Big Bang iaitu T.O.P, filem ini mengisahkan bagaimana 71 orang tentera pelajar di Korea Selatan mempertahankan sebuah sekolah menengah perempuan di Pohang selama 11 jam.

Dilaporkan bahawa sekolah tersebut ialah titik strategik untuk melindungi perimeter Sungai Nakdong daripada pasukan tentera Korea Utara semasa Perang Korea pada tahun 1950.

3. A Taxi Driver (2017)

Siapa antara anda yang pernah menonton Parasite? Song Kang-ho pastinya bukan sebuah nama yang asing untuk anda!

Dibintangi oleh Song Kang-ho dan Ryu Jun-yeol, A Taxi Driver mengisahkan seorang wartawan Jerman iaitu Jürgen Hinzpeter dan seorang pemandu teksi iaitu Kim Sa-bok.

Untuk pengetahuan anda, Jürgen Hinzpeter merupakan satu-satunya wartawan asing yang berjaya membuat liputan Pemberontakan Gwangju pada 1980.

Selepas Jürgen pulang ke Jerman, beliau sebarkan semua yang berjaya dirakam olehnya kepada media tempatan dan antarabangsa.

Jangan lupa untuk sediakan kotak tisu kerana rata-rata warganet bersetuju bahawa filem ini mempunyai pengakhiran yang cukup menyedihkan!

4. The Battleship Island (2017)

Tahukah anda tentang kewujudan sebuah pulau yang menyerupai kapal perang di Nagasaki, Jepun?

Dibintangi oleh Song Joong-ki dan So Ji-sub, Gunhamdo mengisahkan perjuangan 400 warga Korea Selatan yang menjadi tahanan Jepun di Pulau Hashima semasa Perang Dunia Kedua pada 1945.

Sudahlah buruh-buruh paksa ini dipaksa untuk bekerja di kawasan perlombongan arang batu, mereka turut menerima layanan yang tidak berperikemanusiaan daripada pihak Jepun pada ketika itu.

5. The Chaser (2008)

Siapa antara anda yang meminati Ha Jung-woo? Rugi kalau anda tidak pernah tonton filem ini terutamanya peminat genre aksi thriller!

Dibintangi oleh Ha Jung-woo dan Kim Yoo-jung, The Chaser diadaptasi daripada kisah benar seorang pembunuh bersiri yang membunuh lebih daripada 21 orang iaitu Yoo Young-chul.

Kebanyakan mangsanya terdiri daripada pelacur dan lelaki tua yang kaya. Young-chul turut membuat pengakuan bahawa dirinya merupakan seorang kanibal.

Young-chul sempat berkata di hadapan kamera televisyen ketika diberkas, “Wanita tidak boleh menjadi pelacur dan orang kaya patut tahu apa yang mereka lakukan.”

6. Don’t Cry Mommy (2012)

Walaupun mengambil inspirasi daripada kes ‘Miryang gang rape’, filem yang dibintangi oleh Nam Bo-ra dan Shin Dong-ho ini mempunyai lebih banyak fiksyen daripada fakta.

Kim Yong-han iaitu pengarah filem itu berkata bahawa dia mahu meningkatkan kesedaran tentang jenayah seks dan bagaimana kisah tragis berkenaan mampu merosakkan kehidupan mangsa dan keluarga mereka menerusi filem tersebut.

Selepas membaca artikel ini, jangan lupa untuk sediakan kotak tisu dan tonton semua filem yang berjaya menarik perhatian anda. Selamat menonton!

Penulis

  • Amni Nazifah Mohd Thani adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri (FiTA) UiTM.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca