McDonald’s adalah antara restoran makanan segera terbesar dan paling popular di dunia pada ketika ini. Pada April 2018, syarikat itu mengumumkan bahawa hasil pada suku pertama tahunan adalah RM23.9 bilion dan pendapatan sesaham mencapai RM6.17. Secara tidak langsung ia juga telah menjadikan McDonald’s antara sebuah syarikat yang berjaya.
Namun begitu, masih terdapat banyak perkara yang kita tidak tahu tentang gergasi makanan segera ini. Jadi, kami kongsikan 6 fakta menarik dan dahsyat tentang McDonald’s. Antaranya adalah:
1. McDonald’s adalah pengedar mainan kanak-kanak terbesar di dunia
Memandangkan restoran ini melancarkan hidangan Happy Meals pada Jun 1979, McDonald’s telah berjaya mencuri gelaran ‘pengedar mainan nombor satu di dunia’ daripada banyak peruncit mainan utama.
Hal ini kerana, Happy Meals sahaja mewakili kira-kira RM12 bilion bagi jualan tahunan untuk McDonald’s yang melebihi jumlah hasil jualan Wendy’s dan Burger King. Setiap tahun, dilaporkan bahawa McDonald’s mengedarkan sekitar 1.5 juta mainan.
2. McDonald’s diharamkan di lebih 10 buah negara
Terdapat beberapa sebab di sebalik perkara ini. Di Ghana, alasannya lebih membingungkan apabila McDonald’s menerima mesej bahawa ia tidak dikehendaki di Ghana kerana penduduk percaya bahawa McDonald’s hanya akan menghancurkan kemajuan negara mereka.
Seterusnya, apabila McDonald’s cuba memperluaskan perniagaan mereka ke Bermuda pada tahun 1999, kerajaan tempatan menghalang kemasukannya kerana ia akan mempengaruhi budaya masyarakat tersebut. Di samping itu, McDonald’s juga diharamkan di beberapa tempat seperti Iceland, Yaman, Macedonia, Bolivia dan Iran.
3. McDonald’s buka satu cawangan baru setiap 4 jam
McDonald’s mempunyai sekitar 36,900 cawangan di seluruh dunia. Dalam setiap 4 jam, sebuah cawangan McDonald’s yang baru akan wujud di mana-mana lokasi di dunia. Malah, pakar statistik terkesima dengan perniagaan McDonald’s yang luar biasa.
Restoran ini menjual kira-kira 4 juta kilogram kentang goreng di seluruh dunia dalam sehari dan telah menjual lebih dari 4 trilion kentang goreng sejak tahun 1948. Maka, tidak hairanlah ada McDonald’s baru muncul di mana-mana dalam masa 4 jam.
4. Universiti McDonald’s
Pernahkah anda mendengar tentang institusi ini? Bagi yang tak tahu, McDonald’s mempunyai universiti sendiri bernama Hamburger University. Ia ditubuhkan pada tahun 1961 dan mempunyai 8 kampus di seluruh dunia, termasuk Tokyo, London, Sydney dan Shanghai.
Anda mungkin beranggapan bahawa universiti ini mengajar kurikulum biasa termasuk pelajaran tentang bagaimana menggoreng kentang goreng dan memasak burger. Tetapi sebenarnya, kurikulum di universiti ini memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengurusan kepimpinan.
Terdapat kira-kira 16 profesor kolej sepenuh masa di setiap kampus dan kursus-kursus diajar dalam 28 bahasa yang berbeza. Malah, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima masuk ke Universiti Hamburger milik McDonald’s.
5. Kentang goreng McDonald’s mengandungi lebih daripada 15 bahan
Kentang, garam dan minyak, ketiga-tiga asas ini semestinya diperlukan untuk menghasilkan kentang goreng yang enak. Bagaimanapun, McDonald’s menggunakan 12 bahan tambahan selain tiga bahan yang disebutkan tadi. Salah satu daripadanya adalah perisa daging lembu yang kontroversial (menggantikan minyak daging lembu).
Selain itu, antara bahan-bahan lain termasuklah minyak kacang soya, minyak kacang soya terhidrogenasi, gandum hidrolisis, susu hidrolisis, asid sitrik, dimetilpolysiloxane, dextrose, minyak jagung, pyrophosphate asid natrium , butylhydroquinone tersier (TBHQ).
6. McDonald’s menjual lebih daripada 75 burger sesaat
Dengan kira-kira 36,900 buah cawangan McDonald’s di seluruh dunia, restoran ini dianggarkan bahawa mempunyai kira-kira 70 juta orang pelanggan setiap hari, lebih 2 kali ganda daripada penduduk di Malaysia.
Penduduk Amerika Syarikat adalah pengguna daging lembu terbesar di dunia dan majoritinya dibekalkan oleh McDonald’s sendiri. Kira-kira 454,000 kilogram daging lembu dimakan oleh penduduk Amerika Syarikat setiap tahun melalui McDonald’s, sekitar 5 bilion burger setahun atau 75 hamburger sesaat. Jumlah ini mewakili 25 juta ekor lembu.
Itulah fakta tentang perusahaan makanan segera McDonald’s. Untuk pengetahuan anda, McDonald’s juga terkenal sebagai pembeli terbesar daging babi dan daging lembu, juga salah satu penyumbang besar kepada kerosakan alam sekitar dan kesihatan.