6 Anggota Bomba Terkorban Ketika Operasi Menyelamat: Terima Kasih, Para Wira

Negara dikejutkan dengan satu berita tentang enam orang anggota bomba yang terkorban ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR), Rabu lalu.

Mereka sedang dalam usaha mencari seorang remaja lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong sejurus mendapat satu panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut.

Rakyat Malaysia turut berduka dengan berita ini. Rata-rata para netizen menyuarakan perasaan sedih mereka di laman-laman sosial.

Dalam kejadian tersebut, enam orang anggota bomba – Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24 dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, ditemui lemas ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan lemas di lokasi kejadian.

Foto: Berita Harian

 

Pusaran air deras dikatakan menjadi punca enam anggota bomba terbabit lemas.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd Hamdan Wahid berkata, keenam-enam anggota dari Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) tersebut telah menjalankan operasi mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Mereka lengkap dengan peralatan khas akan tetapi mereka dikatakan termasuk ke dalam pusaran air yang sangat deras akibat hujan lebat.”

“Anggota bomba yang lain membawa mereka naik dan memberi bantuan pernafasan, namun mereka disahkan meninggal dunia,” kata beliau kepada Utusan Online ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Serdang, semalam.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keenam-enam orang wira ini dianggap sebagai syahid. Ujar beliau, mereka ialah insan-insan terpilih dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai anggota bomba, sehingga nafas yang terakhir.

“Mereka jauh lebih mulia bukan sahaja kerana mati lemas, tetapi berusaha menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban.”

“Kami iktibarkan mereka sebagai syahid berasaskan kepada nas hadis yang bermaksud, orang yang mati syahid ada 5 golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di Jalan Allah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jenazah remaja lelaki yang lemas, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Putra Perdana, malam tadi.

Keenam-enam ahli bomba yang terkorban akan terus dikenang sebagai wira rakyat Malaysia. Terima kasih di atas pengorbanan dan amanah anda dalam menjalankan tanggungjawab sebagai anggota penyelamat.

Semoga kesemua roh individu terlibat dicucuri Rahmat-Nya.

Al-fatihah.

 

Sumber: Utusan Online dan FMT News.

Foto Paparan Utama: NSTP

Artikel Lain Untuk Di Baca