4 ‘Urban Legends’ Asia Ini Pasti Bikin Anda Meremang!

‘Urban Legends’ adalah kisah-kisah yang menakutkan (kebanyakannya). Kesahihan kisah-kisah legenda ini tidak dapat dipastikan sesetengah daripadanya tetapi kisah-kisah ini pasti bikin anda meremang dan terbayang-bayang.

Seperti yang terkandung dalam novel Creepyposta karya Jeffrey Zain, himpunan kisah-kisah ini berbeza-beza penceritaannya mengikut budaya. ‘Urban Legends’ juga mempunyai banyak versi kerana penceritaan semula daripada individu-individu yang berlainan.

Berikut disenaraikan 4 ‘Urban Legends’ popular yang menghantui Asia.

 

#4. Si Manis Jembatan Ancol (Indonesia)

Foto: Liputan6

Legenda ini dikatakan berkisar tentang hantu seorang gadis bernama Maryam, yang dikatakan menghantui Jembatan Ancol di Jakarta, Indonesia. Penduduk tempatan percaya yang kes-kes kemalangan yang berlaku di  kawasan tersebut berpunca daripada keberadaaan hantu Maryam di jambatan itu.

Kisah Maryam ini sebenarnya adalah sebuah kisah sedih. Tragedi ini dikatakan berlaku pada awal 1800-an. Maryam ialah orang gaji kepada seorang pedagang tua yang kaya. Bila mana umur Maryam menjangkau 16 tahun, si pedagang tua tertarik akan kecantikan Maryam lalu berhajat untuk menjadikan Maryam sebagai gundik. Tidak mahu dijadikan gundik, Maryam telah melarikan diri.

Tetapi, itu bukannya pengakhiran untuk Maryam. Sedang dia mencari-cari tempat untuk berteduh, seorang lagi pedagang tua telah tertawan terhadap kecantikan Maryam dan melakukan beberapa tawaran (Nak dijadikan gundik jugalah. Apa lagi). Maryam dengan keras menolak kerana dia punya harga diri. Oleh kerana si pedagang tua tadi jadi ‘bitter’ disebabkan Maryam tolak dia mentah-mentah, dia dan pengikut-pengikutnya telah mengejar Maryam.

Kasihan Maryam. Dia telah dirogol dan dibunuh, lalu mayatnya dibuang di sawah padi yang berdekatan.

Sejak dari peristiwa itulah ramai yang melaporkan tentang penampakan roh wanita berdekatan Jembatan Ancol – menyebabkan kemalangan kepada mana-mana pemandu lelaki yang melalui kawasan tersebut.

 

#3. Kosmetik Bijan (Korea Selatan)

Maaf untuk mereka yang mempunyai Trypophobia. Penulis juga meremang bulu roma bila melihat gambar ini.

Kisah ini bermula dengan berkisarkan seorang gadis yang sangat mementingkan paras rupa dirinya. Dia ni kira insecure gilalah. Gadis ini memang ingin sentiasa kelihatan cantik dan gadis ini juga akan mencuba apa-apa sahaja rahsia atau petua kecantikan yang dijumpainya.

Suatu hari, gadis ini terdengar akan satu jenis rawatan kecantikan baru yang dikatakan bagus untuk kulit – menjadikan kulit halus dan lembut. Rawatan kecantikan tersebut menggunakan air yang dicampur dengan biji bijan dan pengamalnya dikehendaki untuk berendam di dalam air mandian itu untuk beberapa jam.

Si gadis berasa sangat teruja dan tidak sabar-sabar rasanya dia untuk pulang ke rumah lalu terus mencuba petua kecantikan tersebut.

Selepas beberapa jam sudah berlalu, si ibu menjadi risau kerana anaknya tidak juga keluar dari bilik mandi. Apabila diarahkan untuk keluar, si gadis akan membalas, “Sebentar,” kepada ibunya.

Tidak tahan dengan kerenah anaknya itu, si ibu membuka pintu bilik air secara paksa. Alangkah terkejutnya si ibu bila dia melihat susuk tubuh anak gadisnya – biji bijan yang digunakan dalam air mandian telah melekap di badan si gadis (dan berakar!) di antara setiap kedutan dan liang pori tubuhnya.

Si gadis yang tidak dapat menerima hakikat, telah menjadi gila dan dia dikatakan duduk di bucu bilik mandi sambil terus-terusan membuang dan mencungkil kesemua biji bijan yang terdapat pada tubuhnya dengan pencungkil gigi.

 

#2. Hello Kitty Murder (Hong Kong, China)

Pada tahun 1999, Hong Kong digemparkan satu kes pembunuhan yang amat mengerikan. Kes pembunuhan ini dilaporkan berlaku di sebuah flat tiga tingkat di Granville Road 31.

Mangsa, Fan Man-yee, seorang pelayan kelab berusia 23 tahun telah diculik oleh tiga orang lelaki dan dijadikan tawanan selama lebih dari sebulan.

Semasa dalam tempoh tawanan, Fan telah diseksa tanpa belas kasihan setiap hari sehingga wanita tersebut mati. Mayat Fan telah dicincang, dimasak dan dibuang bersama dengan sampah rumah. Kepala Fan yang telah dipenggal dimasukkan ke dalam satu patung watak Hello Kitty bersaiz besar, lalu dijahit semula.

Sejak dari kejadian itu, dikhabarkan penuntut setempat terlihat akan satu roh wanita berkeliaran di kawasan flat, kadang kala kedengaran bunyi yang menakutkan. Tiada satu penyewa pun yang berani ditinggal di flat tersebut dan flat tersebut dimusnahkan pada tahun 2012. Anda boleh baca dengan lebih detail lagi tentang kes pembunuhan Fan Man-yee di sini.

Kepada para peminat patung Hello Kitty, hati-hati.

 

#1. Tomino’s Hell (Jepun)

‘Tomino’s Hell’ adalah sebuah puisi dalam sebuah buku yang bertajuk The Heart Is Like A Rolling Stone, tulisan Yomota Inuhiko. Dikatakan bahawa sesiapa sahaja yang membaca puisi tersebut akan disumpah untuk menderita seperti Tomino.

Sesetengah orang percaya yang sumpahan itu hanya akan menyebabkan mereka yang terkena sumpahan itu menderita disebabkan oleh kemalangan yang dahsyat, tetapi ada juga sesetengah berpendapat maut pasti menjemput.

Jika diteliti dan dihayati bait-bait puisi Tomino’s Hell ini, ayat-ayat yang digunakan amat mengerikan. Anda boleh google sendiri puisi ini untuk lihat sejauh mana tahap keseramannya. Penulis nak sertakan di sini, hari dah larut malam. Alah, google lah!

 

Dah baca? Jaga-jaga. Jangan pandang mana-mana.

 

 

Sumber: TopTenz

Artikel Lain Untuk Di Baca