Kopi merupakan minuman harian bagi rakyat Malaysia dan sememangnya kopi mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan. Malangnya, secawan kopi yang dicampur dengan gula telah meningkatkan jumlah kalori yang sedia ada. Ini adalah 5 tips untuk membuatkan kopi anda lebih sihat.
1. Minum kopi hitam
Kopi hitam termasuk Espresso mempunyai kurang daripada 10 kalori setiap 8 auns cawan. Anda boleh menyediakan kopi hitam tanpa menggunakan bahan tambahan seperti gula sekiranya anda mahu mengurangkan jumlah kalori. Sememangnya rasa kopi hitam adalah pahit tetapi lama kelamaan anda boleh membiasakan diri dengan rasanya yang pahit.
2. Elakkan penggunaan krimer

Kopi yang dicampur dengan krimer bukan tenusu mengandungi asid lemak ‘trans’ yang tidak baik untuk kesihatan anda. Ia boleh menyebabkan saluran ateri darah tersumbat dan seterusnya boleh membawa kepada penyakit jantung dan angin ahmar (strok).
Anda boleh menggantikan krimer dengan menggunakan susu yang dicampur dengan satu sudu teh madu. Susu adalah lebih baik kerana ia mengandungi kalsium yang dapat mengurangkan risiko penyakit osteoporosis.
3. Tambah kayu manis
Menambah kayu manis di dalam kopi sebenarnya mempunyai beberapa manfaat untuk kesihatan anda. Menurut Healthline, kayu manis boleh membantu untuk mengurangkan keradangan di seluruh badan dan menstabilkan gula dalam darah anda. Diingatkan supaya meletakkan kayu manis dalam kuantiti yang sedikit jika tidak ia akan menghasilkan kesan sampingan yang lain.
4. Tambah koko

Kombinasi antara kopi dan koko adalah gabungan yang terbaik. Koko dipenuhi dengan bahan antioksidan dan mempunyai banyak manfaat kesihatan seperti dapat mengurangkan risiko penyakit jantung. Cara ini sangat sesuai buat penggemar Mocha di luar sana.
5. Jangan minum ketika perut kosong
Minum kopi ketika perut kosong adalah habit yang tidak sihat dan boleh membawa kepada pelbagai risiko penyakit yang berbahaya seperti merosakkan lapisan perut. Anda boleh bersarapan terlebih dahulu sebelum pengambilan kopi di pagi hari. Anda dinasihatkan supaya tidak meminum kopi selepas lewat pukul 3 petang untuk tidak mengganggu jadual tidur anda.