5 Tempat Menarik Di Tenom, Sabah Yang Ramai Tidak Tahu

Mesti terdapat segelintir orang tertanya-tanya, di manakah Tenom itu? Tahukah anda bahawa Pekan Tenom adalah ibu kota Daerah Tenom di bahagian dalam negeri Sabah? Ia dianggarkan memiliki sekitar 5,148 penduduk pada tahun 2010. Pekan Tenom terletak pada jarak 176 kilometer di selatan Kota Kinabalu dan 128 kilometer di utara Long Pasia.

Kebanyakan masyarakat Tenom adalah kaum Murut Tahol yang membawa maksud Orang Bukit. Bagi anda yang tidak tahu hendak bercuti di mana, datanglah ke Tenom. Apa sahaja yang menarik di sana? Jom kita lihat tempat-tempat menarik di Tenom yang sesuai untuk anda kunjungi.

1. Pusat Kebudayaan Murut

Pusat kebudayaan Murut ini merupakan salah satu tempat menarik yang terdapat di Tenom. Ia terletak kira-kira 13 kilometer dari Pekan Tenom iaitu di Kampung Pulong. Tempat ini memaparkan seni bina dan kebudayaan khususnya kaum Murut.

Banyak bahan bersejarah yang dipaparkan di sini termasuklah pakaian, peralatan dan alat muzik. Yuran sebanyak RM5 akan dikenakan kepada orang dewasa manakala untuk pelajar pula sebanyak RM3 seorang.

2. Kilang Kopi Yit Foh

Kilang ini terletak kira-kira 5 kilometer dari Pekan Tenom. Daerah Tenom memang sudah terkenal dengan kopinya. Selain aromanya yang harum, harganya juga berpatutan.

Selain daripada kawasan persekitaran kilang yang cantik, anda juga boleh duduk dengan secangkir cawan kopi sambil menikmati udara segar. Malah, anda boleh mendapatkan produk kopi dalam bentuk cenderahati dalam kotak khas sebagai hadiah.

3. Batu Berukir, Kampung Ulu Tomani

Batu berukir merupakan tempat bersejarah yang terletak di Kampung Bakuku, Ulu Tomani. Perjalanan ke sini memakan masa selama 1 jam 30 minit dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda. Untuk sampai ke Batu Berukir, pelawat perlu berjalan kaki selama 30 minit melalui bendang dan anak bukit.

4. Taman Pertanian Sabah

Bertempat di Lagud Seberang, lokasi ini merupakan salah satu daya tarikan utama yang terdapat di daerah Tenom. Antara yang menjadi tarikan di taman ini ialah taman haiwan, tasik, jungle trekking, muzium tumbuhan hidup dan sebagainya.

5. Rundum Highland

Rundum Highland merupakan pusat pelancongan yang baru sahaja dibuka kepada pelawat. Lokasi ini terletak di Kampung Rundum, Kemabong Tenom. Lokasi ini merupakan tempat yang tinggi dan sejuk dengan suhu sekitar 16 darjah Celcius dengan berlatarkan Hutan Hujan Tropika.

Selain terdapat tempat penginapan, banyak aktiviti yang dapat dilakukan di sini antaranya hiking ke Kubu Lama Inggeris dan Air Terjun, aktiviti berkuda, memancing di sekitar air terjun, unggun api dan persembahan kebudayaan.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua. Selamat bercuti!

Penulis

  • Resiani Kaing adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca