5 Tempat Menarik Bertemakan Filem Disney Yang Anda Boleh Lawati

Setiap pelukis memerlukan inspirasi untuk menghasilkan karya yang agung. Begitu juga dengan pelukis Disney yang menghasilkan karya mereka berdasarkan beberapa tempat menarik di dunia. Kami akan kongsikan 5 tempat menarik yang bertemakan filem Disney yang anda boleh lawati.

1. Frozen – Hotel De Glace, Kanada

Hotel De Glace di Quebec merupakan sumber inspirasi bagi istana ais milik Elsa di dalam filem Frozen. Seni bina hotel dan semua perabot terbentuk daripada campuran ais khas yang direka untuk tahan daripada kelembapan kecuali katilnya yang diperbuat daripada kayu.

Kebanyakan pelawat hanya duduk di dalam hotel kerana suhunya yang sejuk iaitu di antara negatif 3 – 5 darjah celcius. Walaupun suhunya agak sejuk tetapi terdapat pelbagai kemudahan mewah yang disediakan oleh hotel tersebut seperti tab panas, sauna, gelongsor ais, lima restoran dan bar ais yang menyajikan koktel dalam gelas ais.

Sumber: static.tripzilla.com

Hotel ini terletak hanya dalam jarak dua puluh minit pemanduan dari Bandaraya Quebec. Disebabkan musim di Kanada berubah-rubah, hotel ini hanya dibuka pada bulan Januari hingga akhir Mac. Apabila tiba musim sejuk, hotel ini dibina semula menyerupai istana ais milik Elsa dan tempoh pembinaan hotel ini mengambil masa selama enam minggu untuk 50 orang satu pasukan.

2. Beauty and The Beast – Alsace, Perancis

Pekan Perancis di Alsace hampir serupa dengan perwatakan Belle yang rendah diri, cantik dan mempunyai karakter berbeza. Pekan ini mempunyai pelbagai kedai yang unik seperti kedai kafe, kedai pastri, air pancut dan istana yang dapat dilihat dari jauh.

Bagi merasai pengalaman seperti di dalam filem Beauty and The Beast, anda boleh berjalan-jalan di Riquewihr atau Ribeauville sambil menikmati pemandangan indah. Anda juga boleh melawat Black Forest yang merupakan sumber inspirasi daripada cerita dongeng Grimm dan jaraknya hanya satu jam sahaja dari pekan Alsace.

3. The Emperor’s New Groove – Machu Picchu, Peru

Sekiranya anda pernah menonton rancangan The Emperor’s New Groove, di sinilah tempat rancangan tersebut diinspirasikan. Suatu ketika dahulu, Machu Picchu merupakan kota suci bagi golongan bangsawan Inca. Ia terletak di lereng gunung Vilcanota kira-kira 80 batu dari ibu kota empayar, Cusco. Tempat ini pernah diduduki selama tiga generasi Inca dan ia ditinggalkan dalam keadaan misteri.

Bagi anda yang tertarik untuk melawat tempat bersejarah ini, anda boleh mengambil penerbangan dari bandar Peru ke ibu kota Cusco. Anda tidak perlu risau kerana terdapat banyak hotel dan restoran disediakan. Selepas itu, anda perlu menaiki bas untuk Machu Picchu.

Tempat ini juga mendapat undian tertinggi sebagai tempat yang paling menakjubkan di dunia, pasti anda tidak mahu ketinggalan untuk melihat tempat yang bersejarah ini.

4. Sleeping Beauty – Istana Neuschwanstein, German

Istana Neuschwanstein merupakan istana paling popular di dalam dunia Disney di mana pelukis Disney mengambil inspirasi istana ini bagi filem Sleeping Beauty dan Disneyland’s Magic Kingdom. Ia hampir dinamakan sebagai salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Yang Baru kerana pemandangan dan seni binanya yang sangat menarik.

Istana ini terletak di Bavarian berhampiran dengan sempadan Austria. Anda dinasihatkan untuk memilih di salah sebuah bandar kecil yang dapat melihat pemandangan istana ini daripada jauh. Menurut Tripzilla, bandar Garmisch Partenkirchen atau Fussen menjadi pilihan pelancong untuk tinggal di sana. Perjalanan keratapi hanya memakan masa kurang tiga jam dari bandar Munich.

Fakta menarik tentang istana ini ialah tempoh pembinaan istana ini memakan masa yang agak lama dan raja yang membinanya hanya dapat tinggal di sini selama 11 hari.

5. Tangled – Mont Saint Michel, Perancis

Semasa pasang surut berlaku, Mont Saint Michel akan kelihatan seperti kerajaan pulau, Corona di dalam filem Tangled. Tarikan utama pulau ini bukanlah pada istana seperti filem Tangled tetapi biaranya. Biara ini telah menjadi tapak warisan dunia UNESCO semenjak tahun 1979.

Bagi menikmati permandangan indah pulau ini, anda boleh melihatnya ketika matahari terbenam atau waktu malam dan apabila pasang surut berlaku, anda akan melihat pantulannya di dalam air dan cahaya terpancar dengan begitu indah.

Jumlah penduduk di sini hanya mempunyai 50 orang sahaja tetapi, tempat ini dipenuhi dengan pengunjung yang datang pada waktu pagi dan masih menjadi tempat kesukaan bagi pelancong sepanjang tahun. Walaupun tempat ini kelihatan kecil namun begitu terdapat restoran dan hotel yang anda boleh kunjungi di sekitar pulau ini.

Bagi peminat filem Disney, anda boleh melawat semua tempat yang ada dalam senarai ini.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca