Tahukah anda Shah Alam merupakan bandar yang ke-10 terbesar di Malaysia? Tahukah juga anda bahawa terdapat banyak tempat makan yang menarik di Shah Alam? Mari sama-sama kita lihat restoran-restoran yang menjadi kegemaran penduduk Shah Alam.
1. Restoran Jemari
Untuk peminat-peminat masakan Thai, restoran ini adalah pilihan yang tepat untuk anda. Selain menghidangkan Tom Yam yang sedap, pekat dan pedas, restoran ini juga mempunyai Nasi Goreng Ala Thai. Ia merupakan menu istimewa restoran ini dan dihidangkan bersama-sama dengan kerabu mangga, keropok, daging masak merah, timun, bawang dan cili padi. Terliur bukan?
Tidak lupa juga dengan menu Kerabu Kangkung di restoran ini. Kerabu yang bersalut tepung digoreng dan disiram dengan sos Thai di atasnya. Pengunjung restoran ini mengatakan bahawa ia seolah-olah seperti memakan keropok!
2. Big Brother Restaurant & Grill
Dari namanya sahaja kita sudah tahu bahawa restoran ini menghidangkan masakan-masakan Barat. Namun yang membezakan restoran ini daripada yang lain ialah jumlah hidangannya yang banyak. Restoran ini amat sesuai untuk mereka yang suka makan beramai-ramai dengan keluarga atau kawan-kawan.
Menurut para pengunjung, makanan yang dipesan akan dihidang dalam lingkungan 5-7 minit selepas pesanan dibuat. Laju bukan? Sekiranya ditambah dengan keunikan nama makanan beserta keenakan dan jumlahnya yang banyak, ternyata sangat berbaloi untuk kita cuba menjamu selera di restoran ini.
3. Kedai Nasi JJ Kak Wok
Sebenarnya, Nasi Kak Wok berasal dari Kampung Lundang Kota Bahru, Kelantan. Ia diasaskan oleh Mek Wok Hassan atau Kak Wok pada 35 tahun dahulu. Nasi Kak Wok sebenarnya adalah gabungan nasi berlauk antara gulai yang berlemak, serta beberapa ketulan kecil ayam goreng dan sambal.
Nasi Kak Wok adalah satu-satunya menu yang ada di restoran ini. Namun, keenakannya membuatkan para pengunjung sanggup beratur untuk makan di sini. Apa tunggu lagi? Jom kita beratur sama!
4. Restoran Mee Ketam
Dengar sahaja ketam, pasti kita sudah terliur. Tetapi restoran ini menjual pelbagai jenis hidangan yang berunsurkan ketam seperti Mee Kari Ketam, Mee Hoon Sup Ketam, Nasi Putih Kari Ketam, Nasi Putih Ketam Cili dan banyak lagi.
Mee Kari Ketam di restoran ini sememangnya hidangan Mee Ketam yang terbaik. Karinya cukup pedas dan berlemak serta disajikan dengan isi ketam yang banyak dan segar. Menurut para pengunjung, harga bagi setiap sajian juga amat berpatutan.
5. Pak Li Kopitiam
Restoran ini menyediakan hidangan-hidangan yang dijual di kopitiam seperti roti bakar, telur separuh masak, nasi lemak dan pelbagai lagi hidangan lain. Tetapi menu yang istimewa di sini ialah Nasi Ayam Lemon dan ‘Golden Fried Rice’. Manakala minuman yang disyorkan pula adalah kopi putihnya.
Restoran ini merupakan destinasi yang sangat sesuai untuk kita bersantai bersama keluarga ataupun teman, tidak kiralah di waktu pagi, tengah hari, petang, malam ataupun tengah malam.
Penulis
- Nur Asharini Binti Mohd Som adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.