5 Tanda Kucing Anda Marah Dan Merajuk Dengan Anda

Pernah tak kucing anda merajuk sebab kena marah, kena tinggal, lambat makan atau cemburu anda membelai kucing lain? Jika tidak perasan, inilah tanda-tandanya:

1. Menjauhi anda

Biasanya kucing anda suka bermanja dengan anda tapi tiba-tiba ia menjauhi anda buat masa yang lama. “Itu menunjukkan ia marah, takut atau bimbang”, kata Michael Rueb, seorang pakar kucing. Kucing biasanya menjauhkan diri kerana ia keliru dengan suara, pergerakan atau bau anda jika anda meninggalkannya buat masa yang lama. Apa nak buat? Beri ruang kepadanya untuk ‘sejuk’ dan menunggu sehingga si comel anda kembali normal.

2. Bagi sedas dua jelingan ‘maut’ kepada anda

Kucing mampu menunjukkan perasaan melalui matanya. Jika anda membela kucing, pasti anda sudah biasa melihat pandangannya yang tajam menikam kalbu apabila rutin kucing anda sedikit berubah seperti terlambat beri makanan kepadanya.

3. Mogok lapar dan sanggup tak sentuh makanan kegemarannya

Jika sedang marah atau tidak selesa, kucing mungkin makan sikit atau tidak makan langsung. Hal ini mungkin reaksinya kepada perubahan rutin, persekitaran baru atau peristiwa bersejarah dalam hidupnya seperti beranak kembar tiga. Jika lebih sehari dua, seeloknya bawa bertemu doktor haiwan kerana dikhuatiri kucing anda jatuh sakit.

4. Menyorok bawah sofa tak keluar-keluar atau tempat lain yang tersembunyi

Menyorok adalah salah satu tanda kucing sedang takut dengan anda atau pada sesuatu situasi yang tidak menyenangkan.  Menyembunyikan diri merupakan cara kucing melindungi dirinya dan memaksanya keluar untuk bersosial akan menjadikan ia agresif, bertukar dari kucing kepada anak harimau.

5. Kencing sana sini dan berlatih menjadi ‘Wolverine’ di sofa anda

Kucing umumnya menganggap rumah dan halaman sebagai ‘kerajaan’ mereka. Selain marah, stress atau berasa terancam dengan kucing lain, kucing anda akan kencing di semua sudut rumah anda atau mencakar sofa bagi menunjukkan ‘Ini kawasan aku’ dan membuat persempadanan.

Begitulah ragam kucing yang perlu anda hadapi sebagai tuan atau sahabatnya. Penulis turut membela seekor kucing bernama Bunga (jantan sebenarnya) yang mengada-ngada dan doktor haiwan yang merawatnya pernah berkata, “Jangan ikut sangat kehendaknya, nanti ia berasa dirinya boss.”

Mahu apa bossku?

Tak apalah. Walaupun weirdo dan misteri, haiwan kesayangan Nabi S.A.W yang comel dan manja ini turut menjadi kesayangan kita semua.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca