Selesema boleh berlaku disebabkan kesejukan, jangkitan sinus, alahan atau menangis secara berpanjangan. Apa sahaja puncanya, pasti akan membuatkan hidung menjadi tersumbat dan hingus akan meleleh tanpa henti. Sudah tentu anda mahu menghembusnya dengan sepenuh hati untuk kelegaan. Namun, tahukah anda setiap hembusan hingus yang kuat akan memberi kesan buruk kepada penghidap selesema?
Hari ini, kami kongsikan sebab kenapa bahayanya menghembus hingus dengan kuat. Antaranya adalah:
1. Jangkitan Sinus
Menurut satu kajian yang telah dijalankan oleh University Of Virginia School Of Medicine pada tahun 2000, menghembus hingus secara agresif boleh mencipta tekanan yang cukup kuat untuk memindahkan mukus dengan pantas dari rongga hidung ke dalam bahagian sinus.
Namun, mereka tidak menguji sejauh mana keadaan ini membahayakan nyawa seseorang tetapi ramai pakar perubatan mempercayai bahawa bakteria yang terkandung di dalam hingus itu boleh menyebabkan jangkitan sinus yang digelari sinusitis. Begitu juga dengan perbuatan menghembus hidung secara agresif boleh menghantar bakteria ke bahagian telinga yang akhirnya akan menyebabkan jangkitan penyakit lain pula.
2. Boleh Mengakibatkan Gegendang Telinga Pecah
Anda jangan bimbang, gegendang telinga anda tidak akan pecah sekiranya anda hanya beberapa kali sahaja menghembuskan hingus. Namun, akan berlaku perubahan drastik terhadap tekanan di belakang gegendang itu sekiranya berlaku secara berulang-ulang atau berterusan, ia akan mengakibatkan gegendang telinga anda boleh pecah.
Tetapi kebarangkalian untuk berlaku mungkin sangat rendah namun, tiada salah sekiranya anda lebih berhati-hati ketika membuang hingus agar tidak berlaku perkara yang lebih buruk.
3. Keretakan Tulang
Kita sedia maklum bahawa muka seseorang mempunyai puluhan tulang-tulang kecil di bahagian tengkorak. Tulang yang berada di sekitar soket mata, rongga hidung dan sinus adalah sangat nipis berbanding tulang yang lain.
Disebabkan berlaku kesesakan di bahagian hidung akibat hingus terkumpul dan saluran akan tersumbat, seluruh kawasan tersebut akan mengalami tekanan yang sangat tinggi dan akan mudah untuk berlaku keretakan tulang di bahagian hidung.
Menurut Dr. David King, pensyarah dari Program Perubatan University Of Queensland, Australia, walaupun kejadian ini jarang berlaku, hembusan hidung secara kuat yang berpanjangan dan berulang kali boleh mengakibatkan fraktur stres dan menyebabkan lebih mudah untuk berlaku keretakan tulang di bahagian hidung.
4. Kemungkinan Besar Akan Berlaku Kejadian Lebih Buruk
Terdapat beberapa individu yang mengalami sakit kepala yang teruk selepas menghembus hingus dengan kuat. Keadaan ini berlaku akibat udara dipaksa masuk ke bahagian ruang di antara tengkorak dan hidung.
Terdapat juga satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2016 dalam The Journal Of Pediatrics menunjukkan yang hembusan hidung dengan kuat juga boleh menyebabkan kerosakkan esofagus.
Pasti anda tidak menyangka bahawa hembusan hingus yang selalu anda lakukan akan mengakibatkan bahaya pada diri anda sendiri.
5. Hidung Mungkin Berdarah
Tahukah anda, terdapat beratus-ratus salur darah halus di bahagian hidung dan sinus seseorang? Jika anda menghembus nafas dengan kuat semasa selesema, ia akan mengakibatkan beberapa salur darah mengalami ruptur.
Keadaan ini lebih ‘digalakkan’ dengan situasi hidung sedang kering atau bahagian dalam hidung lebih sensitif disebabkan demam selesema. Pendarahan hidung ini akan sembuh dengan cepat dan ia tidaklah terlalu berbahaya.
Jadi anda harus berhati-hati ketika menghembus hingus supaya tidak berlaku perkara yang buruk.
Sumber: Iluminasi