Penulis: Zafirah Zapri
“Maaf, Sham. Awak terlalu baik untuk saya.” ujar Nina. Dan terlalu membosankan. Kata hatinya pula.
“Habis tu, awak nak saya jadi penjahat atau penjenayah yang macam mana?” marah Hisham setelah mendapati Nina mahu pecahkan hubungan mereka yang terjalin tidak sampai setahun itu dengan alasan yang sangat klise.
Apa yang Nina cari sebenarnya dalam sesuatu perhubungan? Nina nak lelaki yang jenis macam mana lagi?
Sebenarnya, Nina nak boyfriend yang jenis… bad boy. Bukan jahat, tapi ‘nakal’ dan fun. Nakal di sini bukan bermakna kena conteng dinding bangunan atau berotak blue tu tapi lebih kepada personaliti.
Menurut laman web Thought Catalog, ada lima alasan kenapa perempuan lebih tertarik kepada bad boy walaupun pengakhirannya nanti mungkin ‘men are trash’:
1. Keyakinan
Anda tertarik dengan sikapnya yang Aku-Peduli-Apa. Lelaki jenis ini tidak pedulikan sesiapa kecuali dirinya sendiri. Dia berani menjadi diri sendiri dan tidak ambil pusing apa pandangan orang terhadapnya. Jadi, naluri feminin anda tercabar dan mahu memburu perhatiannya. Anda berasa seolah-olah memperoleh medal emas jika berjaya memenangi hatinya yang keras seperti batu bata.
2. Agresif
Jika lelaki pemalu malu mahu menegur perempuan yang disukainya, bad boy pula tidak tahu apa itu malu. Dia akan buat apa saja tanpa mengenal erti putus asa bagi menarik perhatian anda walaupun anda menyampah tahap tertinggi sehingga mahu mengangkat jari tengah kepadanya.
3. Charming
Lelaki jenis macam ini biasanya pandai buat lawak atau sekurang-kurangnya buat anda tersenyum. Mereka pandai memuji dan mengambil hati anda walaupun kadang-kadang mereka tidak memaksudkannya pun. Mereka juga bermulut manis seperti aiskrim kon vanila yang bakal mencairkan hati perempuan anda.
4. Artistik
Kebanyakan bad boys ini berbakat dalam bidang seni misalnya bermain drum, menyanyi dengan band dan pandai menulis puisi. Mereka boleh buat sesuatu yang kreatif dan cool. Anda mahu tahu lebih lanjut apa yang berada dalam fikirannya yang kadang-kala terkeluar dari kotak itu.
5. Hero
Walaupun mereka bersikap dingin seperti ais kepal terhadap anda, senyap-senyap mereka ambil peduli dan melindungi anda. Lelaki jenis ini tidak akan duduk diam apabila ada yang membuat anda menangis. Jika ada orang berani kacau anda, orang itu perlu menyediakan wasiat atau wang secukupnya untuk bil hospital kerana telah menempah bala dengan boyfriend anda.
Begitulah serba sedikit karakter bad boy yang menarik perhatian perempuan seperti magnet. Namun begitu, bukan semua perempuan bercita rasa seperti Nina. Ada juga mahukan lelaki yang sopan, penyayang dan berwawasan 2020.
Bunga bukan sekuntum, ada pelbagai spesies dan warna lagi di luar sana. Jangan risau, Mr. Gentleman.
*Nina, Hisham dan sketsa pendek di atas hanyalah rekaan semata-mata.