Pasti ramai di antara pembaca iamlejen.com yang mahukan badan yang sado kan? Dan sudah tentu ramai juga yang cuba untuk dapatkan badan idaman, namun gagal atau berhenti separuh jalan.
Ini adalah sesuatu yang biasa berlaku lebih-lebih bagi mereka yang baru. Faktor utama bagi kegagalan ini adalah tidak mempunyai pengetahuan yang betul dalam proses membina otot.
Bagi anda yang ingin memulakan perjalanan membina otot, kami kongsikan 5 sebab mengapa otot anda sukar untuk membesar.
1. Anda Lakukan Terlalu Banyak Senaman Kardio
Sekiranya matlamat anda adalah untuk tingkatkan saiz dan kekuatan, latihan kardio tidak seharusnya menjadi perkara utama dalam program anda.
Latihan HIIT dan sesi kardio ringan boleh diserapkan ke dalam program anda, tetapi keutamaan harus diberikan kepada latihan beban sekitar 3 hingga 4 kali seminggu.
Jika anda masih mampu untuk teruskan latihan selepas latihan beban, tak ada masalah jika anda ingin lakukan senaman kardio. Tetapi ingat, jika anda terlalu letih, latihan kardio boleh melambatkan anda untuk mencapai sasaran.
2. Anda Kurang Bersabar
Jika anda memang baru sahaja mula “pegang besi”, hasil daripada fasa pertama program latihan anda. Biasanya adalah sesuatu yang anda tak dapat lihat dengan mata kasar iaitu koordinasi anda bertambah baik dalam setiap senaman dan jumlah penguncupan di antara otot-otot anda berkurangan.
Otak anda menjadi lebih cekap dalam berkomunikasi dengan otot dan ia sebenarnya boleh mengaktifkan jumlah serat otot dengan lebih tinggi, biasanya dirujuk sebagai kecekapan neuro-otot.
Jangan lihat badan anda di hadapan cermin selepas 2 minggu dan tertanya-tanya mengapa otot atau badan anda tak membesar. Bersabar dan teruskan usaha, hasilnya akan datang kemudian.
3. Hidup Anda Terlalu Berserabut
Hidup dengan terlalu banyak tekanan negatif boleh menjejaskan badan dan kesihatan anda secara keseluruhan. Memang tak mudah, tetapi anda harus lebih tenang dan terkawal.
Cari kerja yang anda suka yang tidak memeningkan kepala. Makan makanan segar dan minum air dengan sepatutnya. Cuba untuk dapatkan tidur yang baik di antara 7 hingga 8 jam setiap malam.
Semakin rendah tekanan, semakin baik badan anda pulih daripada senaman yang anda lakukan. Dan semakin cepat anda pulih, semakin pantas hasil yang anda akan lihat.
4. Anda Terlalu Banyak Bersenam
Menghabiskan berjam-jam di gym tidak memberikan anda hasil yang cepat (bagi orang baru). Terlalu lama bersenam akan membuatkan masa untuk badan anda pulih lebih lama dan menambahkan tekanan yang tinggi dalam badan.
Jika anda masih baru, 45 hingga 60 minit sudah memadai jika anda menggunakan masa itu dengan sebaiknya. Terlalu banyak latihan juga boleh mengurangkan hasil yang anda mahukan.
5. Anda Tak Bersenam Dengan Betul
Ini adalah perkara yang biasa dilihat di dalam gym, iaitu lakukan latihan dengan tidak betul seperti tidak melakukan sesuatu rutin senaman dengan gerakan separuh atau “half reps”.
Jangan jadi seperti ini kerana latihan separuh jalan memberikan anda separuh hasil. Ketahui cara untuk melaksanakan gerakan penuh untuk setiap senaman.
Buang ego anda dan gunakan berat bebanan yang sesuai dengan anda.
Dalam jangka masa panjang, anda akan memaksimumkan hasil anda jika latihan anda dilakukan dengan gerakan penuh menggunakan bebanan yang lebih ringan, berbanding bebanan yang lebih berat dengan gerakan separuh.
Jika anda ingin mendapatkan badan yang sado, amalkan kaedah di atas.