5 Sebab Kenapa Kapal Terbang Tidak Terbang Lurus Ke Destinasi

Pernahkah anda terfikir, walaupun jarak menaiki kapal terbang ke destinasi yang kita ingin tuju itu dekat, tetapi pemandu kapal terbang masih menggunakan jarak yang jauh? Dan kenapa kapal terbang tak boleh terbang dalam satu jarak yang lurus? Mari kita tengok beberapa faktor yang boleh merungkai pertanyaan di fikiran kita yang berada di awan-awangan ini.

1. Kesesakan

Setiap kali kita menaiki kapal terbang, seakan-akan di langit hanya ada kapal terbang yang kita naiki sahaja dan tidak pula kelihatan kapal terbang yang lain melintas di kiri dan kanan badan pesawat, bukan?

Akan ada masa di mana terlalu banyak kapal terbang ingin melintas dalam ruang udara yang sama dalam masa yang serentak. Bagi mengelakkan kelambatan, pesawat diarahkan untuk menggunakan arah yang lebih jauh untuk minimakan kesesakan.

2. Bumi ini bukan rata

Supaya lebih jelas kenapa ada masanya kapal terbang menuju dengan jarak yang lebih jauh, maka jalan terdekat yang digunakan bukan seperti garisan lurus di dalam peta. Hal ini demikian kerana bumi ini berbentuk bujur yang seakan-akan telur. Kapal terbang perlu menempuh garisan yang melengkung mengikut bentuk muka bumi yang sedia ada.

3. Laluan konflik

Semestinya keselamatan merupakan keutamaan nombor satu dan kejadian yang berlaku terhadap pesawat MH17 memberikan kesan terhadap semua syarikat penerbangan supaya lebih peka terhadap kawasan-kawasan yang mempunyai konflik bagi mengelakkan risiko berbahaya berlaku pada kapal terbang. Itulah antara sebab juruterbang mengubah arah lain ke destinasi yang lebih jauh.

4. Kos sewa udara negara berbeza

Sistem ini dikenali sebagai ‘Overflight Fees’ iaitu yuran penerbangan yang mengenakan kadar yang berbeza-beza mengikut badan pesawat. Seperti di Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam telah melaksanakan cas bagi perkhidmatan kawalan udara dan untuk penggunaan ruang udara kepada apa sahaja pesawat yang melintas masuk ke kawasan negara kita.

5. Jaringan isyarat

Teknologi yang digunakan pada masa dahulu terhad dan tidak meluas, jadi juruterbang melihat panduan arah menggunakan apa yang ada di atas tanah seperti jalan, keretapi, sungai dan juga pantai.

Tetapi itu semua telah berubah pada masa sekarang disebabkan oleh perkembangan teknologi radio yang semakin canggih. Pemandu hanya perlu mengekori pemancar radio yang disediakan di dalam kabin.

Sistem ini mewujudkan satu bentuk laluan di udara yang kelihatan samar-samar dan menerima gelombang radio yang menjadi panduan ketika dalam penerbangan.

Jadi, terungkailah persoalan anda mengapa kapal terbang sentiasa menggunakan arah yang lebih jauh untuk sampai ke sesuatu destinasi dalam keadaan tidak lurus.

Penulis

  • Syafinaz Syafiqah Binti Rozaidi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca