Pertemuan Barcelona dan Manchester United di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara bagi musim 2018/2019 bagaikan mengimbau nostalgia yang lama. Kedua-dua pasukan ini telah bertemu antara satu sama lain sebanyak 11 kali sejak 1984 termasuklah 3 kali di pentas akhir pertandingan Eropah.
1. Manchester United 3 Barcelona 0 (European Cup Winners’ Cup, 21 Mac 1984)
Perlawanan ini sudah semestinya menjadi sebutan di bibir para penyokong ‘otai’ bagi kedua-dua pasukan. Perlawanan tersebut menyaksikan kebangkitan luar biasa ditunjukkan oleh skuad yang dikenali dengan jolokan The Red Devils itu. Ketika itu, The Red Devils dibimbing oleh Ron Atkinson sebagai ketua jurulatih.
Manchester United pada mulanya dianggap ‘underdog’ selepas tewas 2-0 di Nou Camp. Walaupun bermain di tempat sendiri, tiada yang berani membuat ramalan Manchester United bakal mengatasi defisit dua gol yang dimiliki oleh pasukan Catalan itu, lebih-lebih lagi Barcelona ketika itu dibarisi penyerang sensasi Diego Maradona dan Bernd Schuster.
Namun begitu, sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku di mana ia telah mengejutkan semua peminat bola sepak apabila Manchester United bangkit dan berjaya mara ke peringkat seterusnya. Frank Stapleton muncul sebagai wira United apabila menjaringkan gol kemenangan 8 minit sebelum perlawanan tamat. Walau bagaimanapun, kemaraan bergaya itu disekat oleh Juventus di peringkat separuh akhir.
2. Manchester United 2 Barcelona 1 (European Cup Winners’ Cup, 15 Mei 1991)
Dalam pertemuan ini, Manchester United bertemu dengan Barcelona yang dibimbing oleh legenda Belanda, Johan Cryuff. Selepas 74 minit perlawanan berlangsung, skuad bimbingan Alex Ferguson itu berjaya mendahului 2-0 menerusi jaringan bekas pemain Barcelona, Mark Huhges.
Pemain pertahanan Barcelona, Ronald Koeman yang kini merupakan pengendali skuad kebangsaan Belanda menjaringkan gol tunggal Barcelona dalam perlawanan tersebut. Manchester United muncul juara selepas menewaskan kelab yang terkenal dengan moto ‘More Than A Club’ itu.
3. Barcelona 4 Manchester United 0 (Kumpulan A Liga Juara-Juara, 2 November 1994)
Ketika itu, Barcelona dibarisi dengan pemain-pemain bintang seperti Romario dan Hristo Stoichkov dan ia nyata menjadi mimpi ngeri buat anak buah Alex Ferguson.
Barcelona menjadikan malam itu sebagai malam yang derita buat Manchester United selepas membenam jaguh dari England itu dengan kemenangan yang besar. Dalam perlawanan itu, penyerang sensasi Bulgaria, Stoichkov menyumbat 2 gol, manakala penyerang prolifik dari Brazil, Romario menjaringkan 1 gol dan 1 lagi gol dijaringkan oleh pemain pertahanan, Albert Ferrer.
Pada musim itu, Manchester United gagal melepasi peringkat kumpulan. Barcelona pula gagal meneruskan saingan selepas tewas di tangan PSG pada pusingan kedua.
4. Manchester United 0 Barcelona 2 (Perlawanan Akhir Liga Juara-Juara, 27 Mei 2009)
Dalam perlawanan ini, Samuel Eto’o tidak mengambil masa yang lama untuk meletakkan Barcelona di hadapan menerusi jaringan dari sudut yang sukar, 10 minit selepas perlawanan bermula. Barcelona melengkapkan malam gemilang mereka menerusi gol hasil daripada tandukan Lionel Messi. Gol ini dianggap janggal tetapi unik kerana ia jarang sekali dilakukan oleh penyerang Argentina itu.
Hasil daripada kemenangan tersebut, Barcelona berjaya melengkapkan kemenangan treble pada musim itu.
5. Barcelona 3 Manchester United 1 (Perlawanan akhir Liga Juara-Juara, 28 Mei 2011)
Pada musim 2010/2011, kedua-dua kelab ini sekali lagi bertemu di perlawanan akhir Liga Juara-Juara. Dalam perlawanan ini, Messi sekali lagi menjadi wira selepas mempamerkan aksi yang akan diingati oleh peminat-peminat bola sepak di seluruh dunia untuk jangka masa yang lama. Messi nyata menjadi duri dalam daging selepas berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan The Red Devils sepanjang aksi berlangsung.
Barcelona berada di hadapan menerusi jaringan Pedro. Namun begitu, Wayne Rooney berjaya menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama. Barcelona kembali memperkemas rentak di separuh masa kedua dan berjaya mendahului menerusi jaringan ayam tambatan mereka, Messi. Rembatan deras dari luar kotak penalti itu sama sekali gagal diselamatkan oleh penjaga gol United, Edwin Van de Sar.
Aksi memukau yang dipamerkan oleh Barcelona pada malam itu nyata tidak berjaya diimbangi dan disaingi oleh Manchester United. David Villa kemudiannya menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan lencong yang cantik dari luar kotak penalti. Gol itu melengkapkan kemenangan 3-1 buat Barcelona.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh meramal apa yang bakal terjadi dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara yang dijadual berlangsung pada awal pagi Khamis nanti. Ini kerana kedua-dua pasukan telah banyak berubah daripada aspek permainan, termasuklah perubahan barisan pemain dan jurulatih sejak kali terakhir mereka bertemu.
Mampukah Manchester United mengekang kemaraan Barcelona setelah mereka dikecewakan 2 kali berturut-turut pada edisi 2008/2009 dan 2010/2011. Sama-sama kita nantikan.