5 Perkara Tidak Masuk Akal Yang Pernah Jatuh Dari Langit

Langit tidak selalu cerah. Kadang-kadang disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Oleh itu, anda perlu sediakan payung sebelum hujan.

Bagaimana pula jika hujan turun berbentuk katak dan bola golf? Selain payung, anda mungkin turut perlukan helmet.

Berikut 5 fenomena ‘hujan’ luar biasa yang dilaporkan pernah berlaku:

1. Katak

Fenomena ‘Hujan Katak’ ini pernah melanda Oklahoma, Amerika Syarikat pada tahun 1992.

Kejadian ini berlaku disebabkan oleh tornado atau dalam bahasa Melayu dipanggil sengkayan, belalai air yang terbentuk di sekitar tasik itu telah ‘menyedut’ sekampung haiwan amfibia tersebut sebelum jatuh semula ke tanah.

Atau pun mungkin terdapat segelintir katak yang sebenarnya mahu menyeru hujan, tetapi tersilap panggil member sendiri. Okay, okay, gurau saja!

2. Darah

Pada tahun 2008, sebuah kejadian menakutkan telah menimpa penduduk kampung La Sierra di Colombia apabila tempat itu dihujani cecair seperti darah!

Saintis mengambil sampel cecair tersebut dan hasil pemeriksaan menunjukkan memang itu darah sebenar. Mengapa dan bagaimana kejadian itu berlaku masih menjadi tanda soal, tanpa penjelasan sehingga kini.

Pada masa itu, agamawan berpendapat bahawa itu merupakan peringatan daripada Tuhan dan penduduk kampung harus bertaubat.

Satu kes lagi berlaku di Sepanyol pada tahun 2014. Penduduk tempatan mendapati air hujan yang bertakung berwarna merah. Namun kajian telah mengesahkan bahawa puncanya adalah sejenis alga air tawar yang menghasilkan pigmen merah.

3. Bola Golf

Para saksi kejadian menjadi bingung saat melihat berdozen-dozen bola golf jatuh dari langit di bandar Florida pada tahun 1969.

Ahli meteorologi menyatakan bahawa tornado telah membawa pergi bola-bola itu (termasuk yang jatuh dalam tasik) daripada padang golf tempatan.

Selepas habis ribut, bola-bola itu berguguran ke tanah.

4. Mayat

Di London, seorang lelaki yang sedang berjemur di belakang rumahnya dikejutkan dengan tubuh manusia yang jatuh dari langit sebelum hancur berkecai, darah terpercik sana-sini.

Rupa-rupanya si mati telah menaiki kapal terbang Kenya Airways menuju ke London secara haram dengan menyorok di belakang roda ‘landing gear’ pesawat sebelum terjatuh mendarat tidak jauh daripada lelaki itu.

Kejadian itu berlaku baru-baru ini dan media antarabangsa melaporkan lelaki tersebut trauma untuk pulang ke rumahnya semula.

5. Lembu

Pada tahun 1997, dua orang nelayan Jepun telah ditahan kerana mendakwa ada seekor lembu jatuh dari langit telah menghancurkan bot mereka.

Ternyata mereka tidak menipu kerana akhirnya pihak tentera udara Russia membuat pengakuan secara rasmi bahawa mereka telah mencampak keluar lembu itu daripada salah satu pesawat mereka kerana lembu tersebut mengamuk sehingga menjejaskan kestabilan kapal terbang.

Akhirnya nelayan-nelayan tersebut dibebaskan. Kisah itu menjadi bahan ketawa dan legenda urban Internet. Bagaimanapun, kesahihan cerita ini diragui oleh banyak pihak.

Begitulah lima fenomena yang dilaporkan pernah terjadi dan mungkin kedengaran tidak masuk akal pada kita.

Namun tiada apa yang mustahil berlaku di dunia ini jika diizinkan Tuhan. Kehendak dan kekuasaan-Nya jauh mengatasi logik akal kita.

Artikel Lain Untuk Di Baca